Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mendengar, melibatkan, dan bekerjasama dengan semua rakyat Malaysia jika dia ingin memastikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 boleh berjaya menang melawan gelombang ketiga jangkitan COVID-19. PKP 3.0 boleh menjadi PKP terakhir bagi Malaysia jika Kerajaan PN mengakui kegagalannya, mengembalikan Parlimen, menghentikan pusingan U SOP COVID-19 dan dasar, mengakhiri amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, membenarkan golongan profesional yang kompeten membuat keputusan dan menfokuskan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi.
Kerajaan PN telah menembak kaki sendiri dengan Muhyiddin berjanji pada bulan Mac bahawa tidak akan ada PKP seluruh negara pada bulan Mac bersandarkan pada sains dan data. Namun dalam kurang dari dua bulan kemudian, dia melaksanakan PKP di seluruh negara juga berdasarkan sains dan data. Jadi bagaimana rakyat boleh mempercayai Muhyiddin untuk menjalankan tugasnya dengan cekap?
Perintah pusingan U SOP “buka, tutup dan kemudian buka” oleh Kerajaan PN dalam masa kurang dari 24 jam bagi tadika dan pusat jagaan harian, telah menimbulkan kekeliruan dan defisit kepercayaan di kalangan rakyat. Tidak hairanlah jika Kerajaan Sabah sekali lagi tidak mempedulikan Kerajaan PN untuk kali kedua dengan menolak untuk melaksanakan PKP di negeri Sabah. Semalam Kerajaan Sabah secara terbuka menentang Kerajaan Persekutuan PN dengan secara terbuka membenarkan 3 pusat membeli-belah yang disenaraikan oleh HIDE untuk ditutup selama 3 hari, terus dibuka dan beroperasi untuk perniagaan.
Amalan dua darjat dalam penguatkuasaan di mana VIP dan Menteri terlepas tanpa hukuman atau dikenakan hukuman ringan berbanding dengan hukuman bagi rakyat biasa, telah memburukkan lagi defisit kepercayaan rakyat. Kes terbaru melibatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri Azmin Ali yang tidak mematuhi syarat SOP kuarantin 14 hari setelah kembali dari Timur Tengah. Amalan dua darjat seperti ini perlu dihentikan bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.
Jemput Ketua Pembangkang Sertai Majlis Keselamatan Negara.
Keyakinan rakyat perlu dipulihkan kerana pertempuran melawan COVID-19 hanya dapat dimenangi dengan bekerjasama dengan rakyat. Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, Parlimen perlu dikembalikan dan dibuka semula, dan pemimpin pembangkang perlu diundang untuk menyertai Majlis Keselamatan Negara bagi membentuk satu kesatuan menentang COVID-19.
Muhyiddin dijangka akan mengumumkan langkah-langkah kewangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh PKP 3.0. Bagi menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan ekonomi kita sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih dari mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan, dan mata pencarian ekonomi. Adakah Muhyiddin akhirnya akan menunaikan janjinya untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank secara automatik (kecuali 20 Teratas) dan menaikkan bayaran bulanan bantuan kebajikan kepada RM1,000, termasuk golongan penganggur?