Skip to content

DAP mengucapkan tahniah kepada PKR di atas pencapaian yang begitu baik dalam mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil

DAP mengucapkan tahniah kepada PKR di atas pencapaian yang begitu baik dalam mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil semalam. Ini merupakan satu kejayaan dalam membersihkan nama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merana di penjara akibat kezaliman dan pendakwaan terpilih oleh Kerajaan Persekutuan yang diketuai Umno, demi membisukan Ketua Pembangkang tersebut dan menamatkan kerjaya politiknya.

Kemenangan utuh yang tak diduga di pilihanraya kecil Permatang Pauh oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, meski wujud usaha gigih Umno untuk merampas kerusi itu selepas 17 tahun, adalah akibat penolakan politik GST, skandal kewangan, politic perpecahan kaum dan agama, ugutan dan penipuan oleh BN; serta sokongan berterusan terhadap dasar-dasar utamakan rakyat oleh Pakatan Rakyat, sokongan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini terpenjara serta komitmen daripada kesemua parti Pakatan Rakyat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya perhatikan bahawa BN dan Umno telah menggunakan begitu banyak sumber dalam PRK kali ini, sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda berbanding sewaktu PRU ke-13 yang lalu.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malah begitu yakin sekali akan dapat merampas kejayaan daripada PKR. Media arus perdana yang dikawal BN berulang-kali menyebut bahawa ada kemungkinan Umno akan berjaya. Penyudahnya undi bagi BN bertambah sekadar 0.38% menjadi 40.44%. Begitu banyak yang diperkatakan oleh media arus perdana mengenai majoriti yang berkurang dalam usaha terdesak mereka untuk menutup kegagalan Umno, dengan mengabaikan sebab utama iaitu pengurangan kadar keluar mengundi sebanyak 15%, menjadikan jumlah keseluruhan hanya 73% berbanding 88% sebelum ini.

Jelas sekali isu nasional seperti GST, skandal kewangan 1MDB dan dasar-dasar gagal ekonomi BN yang telah didedahkan dengan begitu terperinci sekali oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, telah mendominasi fikiran para pengundi. Sekiranya pendedahan terbaru mengenai pembelian tanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji terjadi beberapa hari sebelum hari mengundi, Umno pastinya akan tewas dengan marjin yang lebih besar berbanding PRU tahun 2013.

Rakyat juga telah berputus asa dengan politik ketakutan BN yang menggunakan kaum dan agama serta ugutan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi supaya menyokong BN. Taktik kotor sedemikian, yang mungkin berkesan pada zaman dahulu, tidak lagi berkesan ke atas pengundi Permatang Pauh yang berpendidikan di zaman moden ini.

Para pengundi telah melihat dengan jelas kemunafikan Umno, apabila Ketua Wanita MCA yang juga seorang Timbalan Menteri Heang Seai Kie telah mendakwa bahawa masyarakat Cina tidak mempunyai sebab untuk membantah GST kerana orang Melayu akan membayar lebih banyak GST kerana mereka mempunyai ramai anak. GST memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Begitu juga dengan ugutan Menteri Pertanian Ismail Sabri Yaacob untuk menghentikan bantuan kepada para petani di Permatang Pauh sekiranya Umno kalah.

Jelas sekali bahawa pengundi Permatang Pauh lebih menyukai dasar-dasar Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan rakyat dan bersepadu oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Walaupun Umno menuduh bahawa tidak ada pembangunan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyumbanglebih RM70 juta dalam bentuk bantuan tunai dan dana pembangunan sejak 2008, atau RM10 juta setiap tahun secara purata.

Bukan sahaja rakyat menerima agihan tunai buat pertama kalinya, pengundi Permatang Pauh turut menyaksikan dewan orang ramai terbaik yang dibina oleh Kerajaan Negeri di Seberang Jaya, masjid-masjid yang dicat semula serta jalanraya baru yang telah siap sebelum pilihanraya kecil. Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen untuk melayani rakyat pada setiap masa, bukannya lima tahun sekali pada musim pilihanraya.

Setelah tewas, Umno membuat satu kesilapan besar dengan mendakwa bahawa kontraktor Bumiputera serta agama Islam didiskriminasi dan dipinggirkan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudian mendedahkan bahawa sejak tahun 2008, kontrak-kontrak berjumlah RM8.3 bilion telah diberikan di bawah sistem tender terbuka kompetitif. Daripada jumlah RM8.3 bilion itu, 94% atau RM7.8 bilion telah diberikan kepada Bumiputera, yang turut sama bersaing dalam sistem tender terbuka itu.

Umno terus terdiam membisu dan tidak berani menjawab hakikat yang tidak boleh dinafikan ini, bahawa 94% daripada kontrak Kerajaan Negeri telah diberikan kepada syarikat Bumiputera. Malah calon Umno di Permatang Pauh, Suhaimie Shabudin yang juga seorang kontraktor pun turut membisu tidak berani menjawab soalan pemberita tentang sama ada syarikat yang terkait dengannya ada mendapat faedah atau menerima kontrak Kerajaan Negeri.

Kontrak RM8.3 bilion yang diberikan ini, serta pertambahan pelaburan sebanyak 94% menjadi RM48.2 bilion antara tahun 2008-2014, berbanding tempoh yang sama antara 2001-2007 sebanyak RM24.9 bilion, telah menafikan dakwaan BN bahawa Permatang Pauh dan Pulau Pinang tidak membangun. Dalam hal agama Islam pula, kami telah mengemukakan bukti bahawa peruntukan yang diberikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah digandakan lebih dua kali ganda berbanding apa yang diluluskan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 iaitu sebanyak RM 25.5 juta, menjadi RM52.2 juta pada tahun 2014.

Akhir sekali, komitmen daripada kesemua parti Pakatan Rakyat kepada sesama sendiri serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjamin kemenangan yang kukuh ini. Walaupun wujud beberapa masalah dan isu yang belum selesai di peringkat nasional, kesemua parti Pakatan Rakyat telah bekerjasama untuk menangkis serangan daripada Umno. Komitmen kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memulihkan semula kepercayaan orang ramai terhadap kestabilan dan kelestarian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk menyediakan model pentadbiran alternatif berbanding dasar-dasar BN yang dikuasai kroni, sedangkan dasar Pakatan Rakyat berasaskan pentadbiran yang bersih, cekap, akauntabel dan telus yang memberi kebaikan kepada rakyat biasa.