Skip to content

Kementerian Dalam Negeri enggan memberi bilangan anggota PDRM untuk risikan politik / cawangan khas

Dalam sidang Parlimen pertama tahun ini, saya telah mengemukakan satu soalan jawab lisan kepada YAB Perdana Menteri menyatakan bilangan anggota polis di bahagian pengurusan, cawangan khas, siasatan jenayah, jabatan KDN/KA, siasatan jenayah komersil, siasatan jenayah narkotik, dan logistik”

Walau bagaimanapun, saya berasa terkejut apabila saya menerima jawapan daripada Menteri Dalam Negeri pada hari 9hb Julai, 2013 dimana soalan saya telah dipinda kepada: –

Puan Teo Nie Ching [Kulai] minta KEMENTERIAN DALAM NEGERI menyatakan bilangan anggota polis di bahagian pengurusan, siasatan jenayah, jabatan KDN/KA, siasatan jenayah komersil, siasatan jenayah narkotik dan logistik.”

Secara jelasnya, perkataan “cawangan khas” telah dipotong tanpa pengetahuan atau persetujuan saya. Jawapan Menteri juga tidak menyatakan kekuatan polis di jabatan tersebut.

Apabila dipersoalkan oleh wartawan-wartawan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi penjelasan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk meminda sebarang soalan Ahli Parlimen apatah lagi statistik Cawangan Khas adalah sensitif dan merupakan rahsia. Beliau kata, “Even if you see CIA and MI6, other intelligence agencies, they don’t tell you how many people they have. Certain things we can’t disclose.”

Selepas 4 bulan, apabila saya meneliti Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014 yang telah dibentangkan baru-baru ini, laporan tersebut dengan jelasnya menyatakan bilangan jawatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program/Aktiviti Bil. Jawatan 2013 Bil. Jawatan 2014 Jawapan Menteri pada 9 Julai, 2013
Pengurusan Polis 54,463 54,463 47,764
Logistik 12,391 12,391 9,840
Penyiasatan Jenayah 11,444 11,444 10,150
Risikan Keselamatan 8,196 8,196
Siasatan Jenayah Narkotik/Pencegahan Dadah 4,978 4,978 4,224
Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Aman 36,560 36,560 32,670
Siasatan Jenayah Komersil 1,949 1,949 1,663
PDRM (Keseluruhan) 129,981 129,981 115,779

Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, objektif bahagian Risikan Keselamatan adalah untuk “menjamin keselamatan Negara melalui aktiviti risikan keselamatan secara sulit dan terbuka ke atas ancaman komunis, anasir-anasir subversif dan pelampau, perisikan, pengintipan dalam negeri dan ancaman luar negara”.

Dengan erti kata lain, Bahagian Risikan Keselamatan adalah Cawangan Khas ataupun Special Branch. Memandangkan bilangan jawatan untuk Risikan Keselamatan / Cawangan Khas adalah tertulis dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, adalah terbukti bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi amatlah salah untuk menyatakan bahawa Cawangan Khas kita adalah bersamaan dengan CIA dan MI6 maka bilangan anggota bahagian ini adalah maklumat sensitif yang tidak sepatutnya terdedah. Malangnya, beliau telah menampar muka sendiri apabila Bajet 2014 telahpun mendedahkan angka-angka tersebut.

Keengganan Kementerain Dalam Negeri untuk memberi statistik Cawangan Khas atau Special Branch juga membuktikan bahawa Cawangan Khas merupakan alat bagi Kerajaan Barisan Nasional untuk mensasarkan musuh-musuh politik terutamanya Pakatan Rakyat.

Tambahan pula, walaupun saya telah memanjangkan masalah ini kepada YDP Speaker melalui sepucuk surat yang bertarikh 10hb Julai 2013, beliau masih tidak memberi sebarang penjelasan terhadap pemindaan soalan saya sehingga kini. Adakah ini bermaksud YDP Speaker memang memihak dan berat-sebelah kepada Kerajaan Barisan Nasional atau Menteri tersebut? Jika perkara sedemikian bukanlah isu bagi beliau, adakah ini bermaksud beliau memanglah tidak melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan saksama terhadap semua Ahli Parlimen?