Skip to content

Ucapan Perbahasan Bajet 2014 oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong

Bukit Mertajam Sokong GST jika Kerajaan Tunai 5 syarat termasuk Berkongsi Hasil GST dengan Kerajaan Negeri

Bajet ini juga merupakan bajet ikat perut yang TERPAKSA dilaksanakan kerana kegagalan kerajaan pusat untuk mentadbir menyebabkan hutang negara sudah hampir mencecah had siling hutang dan menyebabkan rasuah dibudayakan dalam semua peringkat pentadbiran sehinggalah Ketua Audit Negara pada tahun 2009 melaporkan bahawa segala-gala penyelewengan ini menyebabkan negara rugi RM28 billion setahun!

Bajet ini merupakan bajet pertama selepas pilihanraya umum ke-13, jadi saya rasa YAB Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk memperkenalkan dasar yang menyakitkan rakyat sebab tidak perlu takut hilang undi buat seketika.

Tajuk yang paling hangat dalam Bajet 2014 ini ialah GST.

Sokong GST tapi penuhi lima (5) syarat dulu

Saya sokong perlaksanaan GST. Syaratnya ialah TANGGUHKAN GST sehingga dah capai 5 kondisi berikut:

  1. gaji minima secara keseluruhan sudah terlaksana di seluruh Malaysia,
  2. sekurang-kurangnya 50% populasi pekerja membayar cukai pendapatan (kini 14%), dan sekurang-kurangnya 50% syarikat membayar cukai pendapatan korporat (kini 21%),
  3. pengurangan perbelanjaan mengurus kerajaan pusat sehingga mencapai nisbah 60:40 dengan perbelanjaan pembangunan (kini 80:20),
  4. pemulihan semula (recovery of) RM28 billion setahun daripada rasuah dan kepincangan seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara,
  5. pungutan GST dikongsi bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri dengan kadar 50%-50% supaya kerajaan negeri boleh menggunakan dana ini untuk membangunkan negeri masing-masing.

Jika lima syarat ini sudah dicapai, maka saya sokong perlaksanaan GST oleh kerajaan pusat.

Di bawah Najib, bilangan anggota SB menjulang tinggi

Sebelum ini kerajaan telah berkali-kali enggan memberikan angka pegawai polis dalam Cawangan Khas ataupun Special Branch (SB). Pada bulan Julai yang lalu, berdasarkan maklumbalas oleh Menteri Dalam Negeri, saya telah membuat satu unjuran bahawa, SB kini berjumlah 7,642 orang pegawai.

Sah: Pegawai SB seramai 8,196 anggota

Tapi daripada laporan Anggaran Perbelanjaan Kerajaan, saya mendapati jumlah polis SB yang diletakkan di bawah aktiviti “Risikan Keselamatan” PDRM sebenarnya berjumlah 8,196 anggota dan diperuntukkan lebih kurang RM394 juta untuk tahun 2014.

Operasi SB memakan 5.7% belanjawan PDRM berbanding operasi Jabatan Siasatan Jenayah yang memakan 7.7% belanjawan tersebut. Dari segi tenaga kerja, jumlah SB ialah 6.3% daripada keseluruhan kekuatan PDRM berbanding Jabatan Siasatan Jenayah 8.8% (11,444 anggota).

Ini bermakna, kekuatan unit risikan yang sering digunakan untuk risikan politik adalah hampir sama kuat dengan kekuatan penyiasatan jenayah dalam PDRM.

Prestasi SB lebih baik dari Jabatan Siasatan Jenayah

Dari segi prestasi, SB pada tahun 2012 telah berjaya menghasilkan 380,800 laporan risikan, termasuk risikan politik terutama terhadap ahli politik pembangkang.

Jabatan Siasatan Jenayah pula hanya berjaya menyelesaikan 60,401 kes jenayah indeks yang dibuka fail. Dalam kata lain, Jabatan Siasatan Jenayah hanya berjaya menyelesai kira-kira 15% daripada kes jenayah yang disiasat.

Zaman Najib guna lebih ramai SB dari zaman Darurat

Persoalannya, mengapa pentadbiran Najib Razak perlu begitu ramai SB? Sedangkan di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, bilangan SB telah berkurangan sehingga lebih kurang 5000 orang pada 2008.

Malah di pertengahan zaman Darurat pada 1954, SB yang sememangnya ditubuh khas untuk operasi risikan darurat hanya mempunyai 459 anggota, ataupun kira-kira 2% tenaga kerja polis masa itu untuk melaksanakan tugasan berkaitan Darurat. (http://www.rand.org/content/dam/rand/pubs/reports/2005/R957.pdf)

Adakah keadaan Malaysia lebih teruk dari semasa Darurat di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri sekarang?

Bajet 2014 hanya fokus infrastruktur abai pembaharuan Laporan Tun Dzaiddin 2005

Dalam ucapan Bajet 2014, Perdana Menteri mengumumkan peruntukkan berjumlah RM8.8 billion kepada PDRM mengurangkan kadar jenayah. Peruntukkan ini akan digunakan untuk membina dan menaiktaraf Ibu Pejabat Polis, balai polis dan kuarters kakitangan serta membeli pelbagai peralatan seperti senjata api dan motorsikal.

Namun semua ini tidak bermakna jika tiada pembaharuan dalam PDRM yang telah lama disaran oleh Pakatan Rakyat dan juga disaran oleh Laporan Suruhanjaya Polis Tun Dzaiddin 2005. Kerajaan lebih rela meluluskan beberapa undang-undang anti-demokrasi dan anti-hak asasi manusia baru-baru ini tetapi enggan melaksanakan pembaharuan PDRM. Tanpa pembaharuan, bila beli senjata api, nanti pula terjatuh ke dalam laut dan tandas lagi.