Merujuk kenyataan KPM bertarikh 25hb Februari, pelajar ISMP Bahasa Tamil tidak disenaraikan untuk memohon biasiswa atas faktor unjuran berlebihan.
Saya ingin menyeru KPM untuk mengambil kira faktor bahawa masih banyak lagi SMK dan Kolej Tingkatan Enam menjalankan kelas POL Bahasa Tamil dan di luar jadual waktu sekolah. KPM harus memaparkan jumlah kelas POL Bahasa Tamil dan kelas Bahasa Tamil di luar jadual waktu sekolah untuk menyakinkan masyarakat bahawa SMK tiada keperluan untuk guru Bahasa Tamil.
Seterusnya, memandangkan isu pengemaskinian sistem E-operasi guru masih belum mempunyai satu penyelarasan (re-tagging) untuk guru Bahasa Tamil di SMK, saya percaya KPM akan memerlukan lagi Guru Bahasa Tamil di SMK pada masa yang akan datang. Tambahan lagi pakej matapelajaran KSSM menawarkan subjek Kesusasteraan Tamil yang juga memerlukan tenaga pengajar yang ramai.
Setelah meneliti kenyataan KPM, saya juga kurang memahami apa kaitan antara penawaran biasiswa kepada pelajar ISMP dan penawaran subjek Bahasa Tamil PISMP untuk sekolah rendah. Setahu saya, kedua-dua program ialah berbeza dan ditawarkan berdasarkan keperluan serta unjuran berbeza.
Justeru, saya berharap pihak KPM meneliti sekali lagi tawaran permohonan serta mengambilkira aspek kebajikan pelajar memandangkan pandemik Covid19 masih mengugat ekonomi serta kesejahteraan rakyat.