Skip to content

Kesemua tuduhan Datuk Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah

Semasa saya menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, seringkali kami dihujani pelbagai isu yang dibawa oleh pihak pembangkang. Namun kali ini agak unik kerana propaganda mengenai Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 dimulakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang merupakan antara komponen penting di dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Kerajaan yang sedang memerintah namun masih cuba mengaitkan kami yang kini berada di kerusi pembangkang.

Dalam FB live yang dihoskan oleh Pemuda UMNO semalam, Datuk Yazid Othman iaitu Timbalan Pengerusi Sekretariat NGO Tolak BST4 telah membuat tuduhan jahat bahawa saya telah mengeluarkan arahan untuk menukar kandungan buku teks tersebut.

Mantan Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee sendiri telah menjelaskan tentang proses bagaimana buku teks tersebut disediakan. Mustahil terdapat campurtangan saya dalam perkara tersebut.

Sepanjang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia, saya dan pegawai-pegawai di pejabat Timbalan Menteri Pendidikan tidak pernah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyediaan draft dan kerja percetakan buku-buku teks, apatah lagi arah untuk mengubah kandungan buku sejarah. Ternyata sumber yang dinyatakan oleh Datuk Yazid sendiri mendatangkan keraguan melampau.

Kesemua tuduhan Datuk Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah. Saya akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi dan kredibiliti saya semasa menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.