Kemiskinan merupakan satu fenomena yang amat digeruni kerana ia boleh menjadi salah satu kayu pengukur kepada pencapaian sesebuah kerajaan. Kerajaan yang lebih berjaya ialah kerajaan yang meletakkan kadar kemiskinan negara pada paras yang paling rendah.
Pelbagai usaha diambil untuk menghapuskan kadar kemiskinan supaya kerajaan yang memerintah itu terus mendapat sokongan dan dokongan daripada rakyat yang memilihnya.
Di Malaysia pula keadaanya adalah agak pelik dan berbeza. Sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai miskin sekiranya jumlah pendapatan kasar isi rumah berkenaan lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
PGK mengguna pakai ‘cost of basic needs’. Nilai PGK diperolehi melalui nilai kos bagi setiap item makanan dan bukan makanan yang terpilih yang diselaraskan dengan harga barangan dan perkhidmatan semasa mengikut lokaliti.
Pada tahun 2014, PGK nasional adalah RM950 sebulan. Nilai PGK ini adalah terlalu rendah dan langsung tidak realistik. RM950 inilah dijadikan sebagai nilai PGK untuk mengukur kadar kemiskinan isi rumah di negara kita.
Oleh kerana nilai PGK adalah terlalu rendah, sudah tentu peratusan kadar kemiskinan negara kita juga menunjukkan nilai yang terlalu kecil. Ini dilakukan semata-mata untuk memberi imej yang positif kepada pemerintahan Barisan Nasional.
Tetapi, pada hakikatnya, jumlah rakyat yang hidup dalam belenggu kemiskinan adalah jauh lebih besar daripada peratusan yang ditunjukkan oleh kerajaan.
Kerajaan cuba menutup keadaan yang sebenar. Mengikut statistik yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan di negara kita mengikut etnik adalah seperti berikut : Bumiputra (0.8%), Cina (0.1%), India (0.6%) dan lain-lain (0.9%). Adakah angka-angka ini logik dan realistik?
Kadar kemiskinan isi rumah kawasan bandar ialah 0.3% berbanding dengan kawasan luar bandar iaitu 1.6%.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia lagi kadar kemiskinsn paling tinggi ialah di negeri Kelantan dan Sarawak iaitu 0.9% masing-masing; diikuti oleh Perak dan Pahang 0.7% masing-masing. Wilayah Persekutuan dan Johor ditunjukkan nilai 0.0% kadar kemiskinan. Ini bermaksud tidak ada orang miskin di kedua-dua tempat itu.
Manakaka, kadar kemiskinan di Kuala Lumpur dan Melaka hanyalah 0.1% sahaja. Maklumat-maklumat ini diperolehi daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isu Rumah 2014.
Pada hemat saya, kerajaan yang memerintah sekarang tidak patut memanipulasikan keadaan yang sebenar. Kerajaan tidak seharusnya menipu rakyat dengan memberi satu gambaran yang indah dengan meletakkan PGK pada paras yang terlalu rendah.
Paras PGK harus dikaji semula supaya rakyat Malaysia dapat mengetahui kedudukan makro ekonomi negara yang sebenar. Selain daripada itu, nilai PGK yang betul akan membolehkan kerajaan merancang dan mengatur strategi dengan lebih jitu bagi menangani masalah kemiskinan negara.
Pada hari ini, sekurang-kurangnya RM2000 sebulan harus dijadikan sebagai kayu pengukur untuk menentukan kadar kemiskinan negara. Selain daripada itu, faktor lokaliti dan ekonomi persekitaran juga perlu diambil kira dalam merumuskan PGK baru untuk negara kita.
Saya difahamkan Jabatan Perangkaan Malaysia sedang dalam proses memperolehi perangkaan terbaru insiden kemiskinan di negara kita. Statistik terbaru dijangka akan dapat dikeluarkan oleh jabatan itu pada tahun 2017.
Dengan adanya maklumat terkini nanti, kerajaan tidak boleh memberi alasan dan berdolak-dalik dalam soal kemiskinan. Kerajaan harus mengkaji semula nilai PGK dan memerangi isu kemiskinan dengan berani.