Skip to content

Rakyat Sabah diajak menghapuskan budaya politik ‘katak lompat’ di Sabah

Kami mengecam sekeras-kerasnya politik ‘lompat katak’ oleh Adun Likas Wong Hong Jun (Junz Wong) yang telah mengetuai sekumpulan kecil anggota parti untuk keluar dari DAP dan mahu menganggotai sebuah lagi parti tempatan.

Mereka akan menanggung akibat yang buruk lantaran sikap bongkak dan kesilapan yang mereka lakukan hari ini. Mereka telah mengkhianati pengundi yang telah memilih DAP dalam pilihanraya umum yang lalu, biar apa pun alasannya, mereka tidak akan boleh menjustifikasi pangkhianatan yang telah mereka lakukan, apatah lagi melepaskan diri daripada persoalan yang dilontarkan orang ramai ataupun mewajarkan kelakuan ‘lompat katak’ mereka. Ini adalah budaya yang sangat dibenci oleh rakyat Sabah, dan budaya ini mesti dihapuskan demi kepentingan Sabah.

Kami ingin menegaskan bahawa majoriti pengudi di Likas telah memilih DAP pada pilihanraya lalu, justeru wakil rakyat yang dipilih mestilah mematuhi ikrar kepada pengundi, dan akur kepada konsep serta prinsip parti. Mereka mesti meletakkan jawatan sekiranya mereka meninggalkan parti atau ‘lompat’ ke parti lain kerana mereka telah mengkhianati pengundi, tidak ada sebarang keraguan lagi!

Jika beliau tidak bersetuju dengan ideologi dan prinsip DAP, kenapa beliau bertanding dalam pilihanraya yang lepas di bawah bendera DAP?

Jika mereka tidak boleh memahami asas prinsip demokrasi, dan tidak menghormati kehendak pengundi, mereka tidak layak untuk berkata mereka peduli dengan negeri Sabah.

Bagi pihak kami, DAP Sabah dengan ikhlas menegaskan bahawa pemimpin dan anggota kami adalah anak negeri ini, lahir di Sabah dan telah mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah selama bertahun-tahun, serta telah melancarkan pelbagai program untuk membantu serta telah berikrar untuk merubah negeri Sabah, dan memberikan negeri ini autonomi dan kesetaraan yang menjadi haknya. Usaha DAP Sabah adalah jelas dipersembahkan kepada semua.

Sejarah telah mengajar kita, bahawa mereka yang melompat dan sering mengabaikan kepercayaan rakyat, menggunakan pelbagai alasan dan helah demi kepentingan diri, dan akan ditolak oleh rakyat dan dilenyapkan dari sejarah. Ahli politik jenis ini, merendahkan konsep asas dan prinsip demokrasi, serta merupakan musuh terbesar demokrasi di negeri Sabah.

Pada tahun 2013, apabila Dr Hiew King Cheu dikhabarkan akan meninggalkan DAP, Junz Wong telah mengeluarkan kenyataan terhadap pengkhianatan Hiew kepada para pengundi dan mendesak Hiew supaya meletakkan jawatan ADUN Luyang.

Kini, perkara yang sama mesti dilakukan oleh Junz Wong. Beliau mesti meletakkan jawatan sebagai ADUN Likas dengan serta merta.

Sepanjang 50 tahun sejarah DAP, kami telah mematuhi konsep dan prinsip reformasi, kami tidak berputus asa dan tidak berkompromi. Kami sanggup bekerjasama dalam soal nilai sejagat, namun ia haruslah dengan syarat keikhlasan. Jika tidak, kami akan terus berpegang kepada prinsip dan berjuang sehingga ke akhirnya.

Akhir sekali, kami ingin memohon maaf kepada pengundi Likas, kami amat rasa bersalah namun tindakan Junz Wong meninggalkan DAP tidak bermaka DAP tidak akan terus berkhidmat kepada rakyat di Likas.

Kami berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan berjuang demi kepentingan mereka. Kami ingin menekankan bahawa kami tidak akan berputus asa, dan akan terus berjuang demi keadilan sosial dan kesaksamaan untuk semua, dengan menewaskan kerajaan korup BN dan berjanji untuk membina masa depan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Sabah.