TIADA PERGERAKAN, TIADA JANGKITAN! wajar dijadikan slogan dan disiplin kita dalam usaha memutuskan rantaian perebakan pandemik COVID-19 khususnya di negeri ini.
Slogan ini akan menjadi pendekatan utama dalam kempen komunikasi Penang Lawan COVID-19. Ini kerana, semua rakyat Pulau Pinang perlu berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri dan barisan hadapan (frontliners) kita dalam usaha menurunkan jumlah jangkitan kes-kes di negeri ini.
Malah, pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri menerusi sidang video sebentar tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berkongsi kerisauan bahawa matlamat untuk mengurangkan jumlah jangkitan kes adalah sukar dicapai sekiranya pergerakan tidak dihadkan.
Justeru, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah perlu diperketatkan dan komunikasi risiko juga adalah perlu diperkukuhkan lagi bagi meningkatkan kesedaran rakyat berhubung amalan normal baharu. Pada peringkat komuniti, fokus yang bakal dilaksanakan adalah dengan mewujudkan jawatankuasa pengurusan bencana serta pemerkasaan komuniti dengan memperincikan risiko kadar jangkitan di peringkat lokaliti.
Serentak itu, saya ingin terus menekankan keperluan pelan menyeluruh daripada agensi-agensi berkaitan terutamanya bagi memperkasakan komponen penting iaitu pendekatan 3T (testing, saringan secara besar-besaran; tracing, mengenal pasti dan treating, merawat) yang meliputi pengurusan sumber pusat-pusat perubatan awam negara; kapasiti makmal bagi proses saringan; status Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah; integrasi dengan sektor-sektor swasta; penubuhan Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu yang bakal memantau kepelbagaian pengurusan termasuk Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan ‘virtual consultation’ menerusi platform aplikasi MySejahtera.
Sebagai tambahan, adalah juga menjadi keperluan untuk mempercepat serta memperketatkan pelaksanaan saringan pekerja-pekerja warganegara serta bukan warganegara sama ada di bawah program saringan ditetapkan Kerajaan dan juga atas inisiatif majikan sendiri.
VIRUS DI DEPAN PINTU ANDA! Patuhi SOP dan bersama-sama kita menangi pertempuran ini.