Skip to content

Kempen kutipan dana guaman untuk menuntut kebenaran

Kami membantah sekeras-keras kelakuan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ternyata berat sebelah tanpa mempertimbangkan bukti-bukti yang sahih dalam Siasatan Awam yang berlangsung dari 4 Disember hingga 10 Disember berkenaan pendaftaran pemilih di Kem Segamat yang masih dalam pembinaan. Semua keputusan yang dibuat oleh SPR dalam Siasatan Awam berpihak kepada Kementerian Pertahanan. Ini telah membuka ruang kepada segala bentuk manipulasi ke atas sistem pilihanraya negara kita sekaligus menolak kedudukan Malaysia ke paras terendah dari segi amalan demokrasi di mata dunia.

Bantahan telah dibuat berdasarkan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan suatu pendengaran siasatan awam selama 5 hari telah dijalankan di Segamat dari 4 hingga 10 Disember 2017.

Seramai 1,051 pemilih anggota tentera dan pasangan mereka telah didaftarkan di suatu lokaliti baru dinamakan Kem Segamat di bahagian pilihanraya P140 Segamat dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ketiga tahun 2017. Setakat pada waktu pendaftaran, Kem Segamat masih belum siap dibina dan ini sekali lagi disahkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohd. Johari bin Baharum apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Seremban YB Anthony Loke Siew Fook di Dewan Rakyat pada 27 November yang lalu.

Bagaimana pun, pihak SPR yang sepatutnya berperanan sebagai pengadil telah bertindak memihak kepada pihak Kementerian tanpa mengambil kira bukti-bukti yang dibentangkan oleh semua pembantah. Malah pembantah berasa seolah-olah pihak SPR telah bertindak sebagai pembela kepada tindakan tersebut.

Sepanjang sesi pendengaran dijalankan pembantah-pembantah telah mengadukan ketidakadilan yang berikut :

  • Mereka dinafikan hak untuk diwakili oleh peguam;
  • Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan bantuan penterjemah khasnya apabila sesi pendengaran menyentuh perkara teknikal perundangan;
  • Mereka juga dinafikan hak untuk membawa masuk saksi untuk menghadiri pendengaran;
  • Mereka tidak dibenarkan untuk menyemak dokumen atau bukti yang dibentangkan oleh pihak Orang Kena Bantah malah ada di kalangan mereka yang dinafikan hak untuk melihat dokumen-dokumen tersebut;
  • Dokumen atau bukti yang dibentangkan seperti penyata rasmi Dewan Rakyat tidak diterima sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa kem masih belum siap dibina malah pembantah diminta membawa Timbalan Menteri Pertahanan untuk menghadiri pendengaran sebagai saksi;
  • Pembantah juga dinafikan hak untuk mengemukakan soalan satu per satu kepada anggota-anggota tentera yang menghadiri pendengaran.

Pada masa yang sama, layanan berbeza telah diberikan kepada pihak Kementerian yang merupakan pihak kena bantah kali ini

  • Anggota-anggota tentera atau pasangan mereka telah dibenarkan masuk ke bilik pendengaran secara berkelompok telah memberikan tekanan besar kepada pembantah;
  • Pegawai orang kena bantah dibenarkan masuk menghadiri pendengaran sebagai saksi;
  • Malah segala soalan yang ditimbulkan, jika ada tidak dijawab oleh anggota tentera yang terlibat tetapi hanya dijawab oleh pegawai mereka (saksi), seolah-olah saksi juga bertindak sebagai wakil guaman Orang Kena Bantah.

Tambahan pula, Pendaftar yang mengetuai pendengaran tersebut telah bertindak sebagai pembela kepada pihak kena bantah mengakibatkan pembantah terpaksa berhadapan dengan puluhan orang yang berlawan pendirian dengannya.

Akhirnya, kesemua bantahan yang difailkan itu telah ditolak oleh pihak SPR (gagal) dan setiap pembantah diarahkan membayar pampasan bernilai RM100 hingga RM150 kepada setiap orang kena bantah yang hadir. Ini bermakna sejumlah RM 115,250 perlu dibayarkan kepada pihak kena bantah.

Bagaimana pun, kami tidak akan menyerah kalah pada tahap ini. Setiap 54 orang pembantah, dibantu oleh DAP Johor, telah mengambil keputusan untuk membuat rayuan rasmi ke atas keputusan Siasatan Awam selaras dengan peraturan pilihan raya. Sekalu lagi kos yang tinggi, iaitu kira-kira RM5000 perlu ditampung kerana SPR mengenakan bayaran RM5.00 untuk setiap satu rayuan.

Perjuangan untuk menuntut kebenaran akan diteruskan. Sekiranya rayuan yang difailkan sekali lagi ditolak maka kami sedia membawa kes ini untuk tindakan guaman yang lebih tinggi.

Kami berharap seluruh rakyat Malaysia yang cinta kepada tanahair dapat sama menyertai perjuangan dengan menyumbang kepada tabung guaman kami. Kos yang ditanggung sehingga kini telah mencecah RM120,000.00. Segala bentuk sumbangan bolehlah disalurkan terus kepada akaun bank DAP Negeri Johor dengan catatan “KEM SEGAMAT”. Butiran akaun bank adalah seperti berikut : No Akaun : 3101109707 (Public Bank), Nama Pemegang Akaun : DAP Johore State Committee