Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilaporkan berkata bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat portal berita The Malaysian Insight (TMI) setelah ada pihak membuat laporan polis, tetapi kita tidak diberitahu apakah hujung pangkal laporan terbabit. Ini berlaku selepas perwakilan UMNO berbahas di perhimpunan agung mereka, mendesak pihak berkuasa menyiasat TMI atas dakwaan menghina kepimpinan UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimana mungkin segelintir pemimpin UMNO ini tidak sedar bahawa bukan sahaja TMI, malah selurug dunia sedang bercakap tentang skandal 1MDB yang mengaitkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor? Atau adakah ini suatu komplot terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang isterinya Faridah Begum didakwa perwakilan merupakan tuan punya TMI?
Adakah SKMM dan agensi berkaitan turut mahu menyoasat portal-portal berita dan juga media-media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Google kerana menularkan berita penuh skandal membabitkan Najib dan keluarganya? Apatah lagi dalam keadaan pilihanraya bakal berlangsung tidak lama lagi.
Sekiranya siasatan ke atas TMI bertujuan memastikan kemenangan Najib dalam PRU akan datang, maka mungkin pentadbiran Najib Razak perlu menghalang penyiaran perkataan ‘1MDB’ dan ‘Jho Low’ di dalam internet. Ini mungkin cara yang jauh lebih berkesan.
Juak-juak Najib mesti mengakui bahawa mustahil untuk menyembunyikan apa-apa pun dalam era internet ini. Kebenaran pasti akan ditemukan. Semakin galak mereka mahu menyorok, semakin banyak akan terdedah sewaktu pilihanraya nanti.