Skip to content

Sebarang cadangan pembangunan lapangan terbang baharu akan hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian National Airport Strategic Plan (NASP) dimuktamadkan oleh Kerajaan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini dimaklumkan menerusi jawapan Soalan Lisan saya di Parlimen kepada Menteri Pengangkutan bahawa sebarang cadangan pembangunan lapangan terbang baharu termasuk cadangan pembangunan dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Kedah akan hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian National Airport Strategic Plan (NASP) dimuktamadkan oleh Kerajaan.

Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa kajian NASP yang meliputi kajian semua pembangunan lapangan-lapangan terbang dan Short Take-Off Landing Airport (STOLport) dalam negara dijangka siap pada tahun 2023 selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara. Ini adalah bertujuan menentukan hala tuju pembangunan lapangan-lapangan terbang di Malaysia dari segi peranannya, keperluan ruang udara (airspace requirement), kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang itu dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan sebenar seperti mana dapatan kajian tersebut

Salinan adalah seperti berikut sebagai rujukan bersama:-

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KETIGA

PARLIMEN KE-EMPAT BELAS

PERTANYAAN LISAN
DARIPADA TUAN CHOW KON YEOW [TANJONG]
TARIKH 12 OGOS 2020 (RABU)

SOALAN

Minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan status projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sehingga kini. Perincikan juga perkembangan terkini cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Kedah.

JAWAPAN

Yang di-Pertua,

  1. Untuk makluman Yang Berhormat, sektor pelancongan dan penerbangan adalah antara industri paling teruk terjejas susulan impak COVID-19. Ianya telah menyebabkan ketidak tentuan pasaran yang meningkatkan lagi risiko sedia ada yang membebankan industri penerbangan. Kesan penularan wabak COVID-19 terhadap ekonomi dunia dan negara, terutamanya aspek perubahan corak permintaan pelancong dan sektor penerbangan yang memerlukan satu tempoh pemulihan yang dijangka memakan masa di antara 2 hingga 3 tahun lagi.
  2. Dalam hubungan ini, Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan Kajian National Airport Strategic Plan (NASP) yang meliputi kajian semua pembangunan lapangan-lapangan terbang dan Short Take-Off Landing Airport (STOLport) dalam negara yang dijangka siap pada tahun 2023 selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara. Kajian ini bertujuan menentukan hala tuju pembangunan lapangan-lapangan terbang di Malaysia dari segi peranannya, keperluan ruang udara (airspace requirement), kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang itu dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan sebenar seperti mana dapatan kajian tersebut
  3. Oleh yang demikian, sebarang cadangan pembangunan lapangan terbang baharu termasuk cadangan pembangunan dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Kedah akan hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian NASP dimuktamadkan oleh Kerajaan.