Baru-baru ini Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah dipetik mengatakan Universiti Teknologi Mara adalah untuk ‘slow-learners’ di majlis Anugerah Nadi Negara di Kuala Lumpur.
Kenyataan Ku Nan nyata menunjukkan beliau merendah-rendahkan graduan dan pelajar UiTM, berpendapat institusi tersebut sebagai kelas ketiga dan seterusnya merendahkan martabat satu universiti yang paling banyak mendidik orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Adakah beliau juga mengatakan alumni UiTM seperti Dato Seri Azalina Othman, Menteri di JPM, Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim bagi Sabah dan Sarawak sebagai slow-learners?
Kebanyakan pelajar UiTM bukanlah ‘slow learners’ , tetapi mereka adalah ‘underprivileged’ oleh kerana dasar-dasar sosio ekonomi yang gagal menjaga kebajikan dan gagal menyediakan akses saksama kepada peluang pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.
Antara tujuan UiTM ditubuhkan adalah untuk merapatkan jurang sosio ekonomi tersebut.
Ku Nan tidak sepatutnya menyalahkan graduan atau pelajar UiTM sekiranya sistem pendidikan kerajan Barisan Nasional di peringkat kebangsaan gagal menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak kita sehingga layak masuk universiti tanpa perlu merendahkan poin seperti didakwa beliau.
Kenyataan beliau ini adalah satu tamparan hebat kepada institusi MARA, pelajar dan alumni UiTM serta satu penghinaan terhadap Tan Sri Arshad Ayub yang merupakan tulang belakang kepada kejayaan UiTM sebagai satu institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan untuk mendidik dan memajukan golongan Melayu dan Bumiputera.
Tan Sri Arshad adalah seorang yang percaya penuh kepada kebolehan anak-anak Bumiputera untuk mencapai tahap pendidikan yang tertinggi serta berdaya-saing dengan dunia sekiranya diberi peluang. Itulah falsafah kewujudan UiTM.