Skip to content

Kenyataan media ahli parlimen Bruas pada 10 Julai 2015

Pada tanggal 1 Julai yang lepas, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings Inc telah mengumumkan penarafan terkini terhadap unjuran Malaysia daripada negatif kepada stabil. Selain itu juga, Fitch mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘A-‘ dan IDR mata wang tempatan pada ‘A’. Pengumuman ini sebenarnya tidaklah memberi kesan yang baik kepada rakyat yang sudah sedia terbeban ekoran perlaksanaan GST pada awal April yang lalu. Kembimbangan terhadap kerajaan Barisan Nasional yang semakin hari semakin terhimpit dengan pelbagai masalah dan isu negatif juga merunsingkan rakyat menurut Timbalan Setiausaha Agung DAP, YB Dato’ Ngeh Koo Ham.

Bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan Al-Mubarak, YB Dato’ Ngeh Koo Ham selaku Ahli Parlimen Bruas dan ADUN Sitiawan bersama YB Wong Mei Ing, ADUN Pantai Remis bersama pimpinan DAP yang lain telah membuat lawatan ke bazar ramadhan di sekitar kawasan Ayer Tawar untuk mengedarkan sumbangan kurma percuma kepada para pengunjung bazar. Menurut beliau lagi, situasi ekonomi yang semakin genting telah membebankan rakyat dengan harga barang yang meningkat naik. Ini sebenarnya merupakan bukti yang GST sebenarnya tidak memberikan kebaikan kepada rakyat, hanya menambahkan kutipan cukai kepada kerajaan disamping pembatalan subsidi minyak kepada rakyat oleh kerajaan.

Penarafan sebelum ini yang memberikan unjuran negatif kepada Malaysia berkemungkinan disebabkan isu-isu yang melanda ekonomi negara seperti hutang yang ditanggung oleh syarikat pelaburan stategik kerajaan iaitu 1MDB.

Penarafan terkini yang diberikan oleh Fitch Ratings ini sebenarnya tidak memberikan banyak kesan kepada penduduk di negara ini. Menurut YB Dato lagi, kebanyakan peniaga kerap kali mengadu tentang perniagaan mereka yang kian merosot. Penyemakan unjuran Malaysia daripada negatif kepada stabil hanyalah berkisar di atas kertas sahaja, tetapi realitinya rakyat hidup dalam keadaan yang semakin susah. Ini membuktikan kerajaan seolah-olah hanya mementingkan jangkaan perolehan mereka sahaja tanpa mempedulikan nasib rakyat terbanyak.

Beliau juga berharap agar kerajaan tidak terlalu gembira dengan penarafan terkini oleh Fitch ini yang dikaitkan dengan peningkatan daripada sudut pelaburan luar, malah kerajaan seharusnya lebih peka dan bersedia untuk mengorak langkah bagi meringankan beban rakyat. Peningkatan ini sebenarnya didorong oleh perlaksanaan GST serta penyelarasan semula subsidi. Kerajaan boleh menggunakan lebihan pendapatan ini untuk membantu rakyat. Seharusnya, pihak kerajaan perlu mengambil langkah yang bijak untuk menangani masalah yang melanda seperti hutang 1 Malaysia Developmet Berhad, isu nilai ringgit yang kian jatuh, aspek perpaduan dan rasuah.

Selain itu, YB Wong May In selaku Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Remis pula menjelaskan bahawa negara Malaysia sebenarnya memerlukan seorang Menteri Kewangan yang menjalankan tugasnya sepenuh masa. Sebagai seorang Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak sebenarnya sudah terlalu sibuk dengan tugasan harian beliau, dan ini akan membawa kepada pengabaian tanggungjawab yang ketara. Sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan ini, terdapat pelbagai isu yang melanda ekonomi negara ini yang sememangnya membawa pelbagai kesan negatif kepada ekonomi negara. Sepatutnya Malaysia mempunyai satu KPI kepada kesemua menteri kabinet termasuklah Perdana Menteri sendiri, dimana pemimpin yang tidak mampu menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan perlulah meletakkan jawatan secara baik dan memberikan peluang kepada pemimpin lain untuk melaksanakannya. Beliau berharap agar YAB Dato’ Seri Najib Tun Tazak mendengar gesaan ini untuk meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan di atas pelbagai masalah yang berlaku terhadap ekonomi negara kita.