Kerajaan kekal komited untuk meningkatkan usaha menangani cabaran jenayah scam dan penipuan melalui penyelarasan di antara agensi kerajaan dan penggiat industri.
Perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Memperkukuh Ketahanan Nasional Menangani Scam dan Penipuan yang dianjurkan oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), dan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada 9 September 2026.
Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Untuk Membanteras Penipuan Tuan Syed Ahmad Taufik Albar menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ini yang diadakan di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur. Pasukan petugas ini merupakan satu jawatankuasa ABM.
Mesyuarat ini melibatkan ABM, Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Bank Negara Malaysia (BNM), dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pelbagai langkah telah dilaksanakan, namun scam semakin kompleks dan berlaku dengan lebih pantas, termasuk melalui penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI). Justeru, usaha menangani scam perlu melibatkan keseluruhan ekosistem dan bukan hanya sektor perbankan.
- Mekanisme penyelarasan sedia ada yang diterajui MCMC akan terus diperkukuh dengan penglibatan agensi berkaitan, termasuk BNM dan PDRM.
- Penggunaan data dan definisi yang seragam turut diberi perhatian. Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) dicadang untuk diperluaskan kepada lebih banyak pihak dan sumber data, termasuk syarikat telekomunikasi, bagi membolehkan maklumat berkaitan scam dikongsi dengan lebih pantas.
- Keupayaan risikan dan analisis proaktif juga akan diperkukuhkan melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi mengenal pasti trend dan ancaman lebih awal.
- Oleh kerana jenayah scam bermula melalui media sosial, platform digital, rangkaian telekomunikasi dan pelbagai saluran lain sebelum sampai ke sistem perbankan, bank, syarikat telekomunikasi, platform digital dan pihak berkaitan perlu mempunyai peranan serta tempoh tindak balas yang lebih jelas. Mekanisme perkongsian maklumat dan tindakan pantas, termasuk menyekat atau menurunkan kandungan berkaitan scam, perlu diperkukuhkan.
Bagi Belanjawan 2027, langkah untuk memperkukuh literasi kewangan, kesedaran awam dan ketahanan rakyat terhadap scam dan penipuan akan diberi perhatian.
Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk memastikan tindakan menangani scam lebih terselaras, pantas dan proaktif.