Skip to content

Kenyataan Media Mengenai Sesi Libat Urus Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong Bersama Platform E-Dagang

Timbalan Menteri Kewangan YB Liew Chin Tong telah mengadakan sesi libat urus dengan pengendali platform e-dagang dan agensi-agensi kerajaan. Memandangkan pembelian secara dalam talian semakin menjadi pilihan pengguna, pemantauan rapi ke atas produk yang dijual dalam talian adalah penting untuk menjamin hak dan keselamatan pengguna, dan kelangsungan perniagaan Malaysia.

Sesi ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara pihak kerajaan dan platform e-dagang dalam memastikan pematuhan kepada undang-undang dan piawaian keselamatan Malaysia.

Usaha ini selaras dengan kegusaran yang telah dizahirkan oleh YAB Perdana Menteri mengenai kemasukan produk dan perkhidmatan asing yang tidak dikawal selia, yang bukan sahaja menjejaskan persaingan industri tempatan, malah berpotensi membahayakan keselamatan rakyat Malaysia.

Berdepan dengan platform e-dagang rentas sempadan, keutamaan kerajaan adalah untuk mewujudkan medan persaingan yang adil (level playing field) di mana semua produk yang dijual di pasaran Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang, piawaian dan tanggungjawab yang sama. Ini juga adalah untuk memastikan kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan yang perlu mematuhi peraturan serta menanggung kos seperti gaji pekerja, percukaian dan perlesenan yang tidak ditanggung oleh penjual luar negara.

Mesyuarat ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi pendekatan seluruh Kerajaan (whole-of-government approach) di bawah struktur Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara yang dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan dianggotai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Antaranya termasuk penglibatan agensi kerajaan yang lain seperti SIRIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha penguatkuasaan undang-undang.

Pihak pengendali platform e-dagang juga akan memantau rapi platform masing-masing dan menggantung penjual yang didapati menawarkan produk larangan atau tiruan.

Selain itu, sesi libat urus ini juga mencadangkan agar:

  1. Inisiatif untuk menyokong PMKS tempatan menyertai ekonomi digital diperkenalkan.
  2. Program ‘Jom Beli Produk Malaysia’ (Jom Malaysia) diperluaskan ke platform e-dagang sebagai gerakan patriotisme ekonomi.
  3. Undang-undang tempatan patut dipatuhi sepenuhnya untuk memastikan kepentingan kedua-dua peniaga tempatan dan pengguna dilindungi.

Wakil kerajaan yang hadir termasuk Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri KPDN Tuan Muhamad Afifi Bin Abd. Hamid, Jabatan Penguatkuasa KPDN, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), LHDN, MCMC, SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga.

Wakil platform e-dagang yang hadir termasuk Ketua Hal Ehwal Awam dan Luaran Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Mohamed Din; Ketua Polisi Awam (E-Dagang) TikTok Malaysia, Tengku Azrul Tengku Azhar; Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan Lazada Malaysia, Khairil Ahmad; dan Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam dan Polisi Grab Malaysia, Kamil Darman.