TIADA PERGERAKAN, TIADA JANGKITAN!
Kepentingan pengumpulan data bagi menentukan fokus serta tindakan tepat perlu pada tahap seterusnya adalah tidak dapat disangkal. Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 7 Februari 2021 melaporkan bahawa pada tahap Gelombang Ketiga pandemik COVID-19, sebanyak 472 kluster adalah membabitkan tempat kerja berbanding Gelombang Kedua, 25 kluster. Bagi Gelombang Ketiga, kluster membabitkan sektor pembuatan mencatatkan jumlah tertinggi diikuti perkhidmatan dan pembinaan. Justeru, selain peningkatan penguatkuasaan tanpa kompromi, turut perlu dipergiatkan adalah proses saringan sama ada di bawah Program Saringan COVID-19 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ataupun atas inisiatif pihak majikan sendiri kini.
Bagi Pulau Pinang, kita mencatatkan jumlah kes yang agak tinggi sejak minggu lalu ekoran kluster-kluster baharu yang dikesan membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak binaan. Saya menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa bagi minggu epid kelima (31 Januari 2021 hingga 6 Februari 2021), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Pulau Pinang menerima laporan sejumlah 912 kes positif COVID-19 yang mana 624 kes iaitu 68.4 peratus adalah membabitkan warganegara manakala bakinya, 288 kes (31.6 peratus) adalah terdiri daripada bukan warganegara.
Daripada segi pecahan kes mengikut kluster dan saringan adalah seperti berikut;- (kes)
- 194 Kluster Mayang Pasir;
- 102 Kluster Beringin;
- 75 Kluster Tapak Bina Valdor;
- 15 Kluster Penjara Seberang Perai;
- 206 saringan tempat kerja;
- 172 saringan kontak rapat;
- 148 terdiri daripada saringan bergejala, saringan pra-pembedahan dan lain-lain saringan.
Secara keseluruhan, sejumlah 8,873 ujian pengesahan COVID-19 telah dijalankan sepanjang tempoh berkaitan (epid kelima) membabitkan pelbagai fasiliti kesihatan di bawah pemantauan JKNPP. Majoriti saringan adalah tertumpu kepada saringan kontak rapat kes positif, tempat kerja di kilang industri serta tapak binaan dan saringan bergejala.
Bagi saringan warganegara asing sama ada berdaftar di bawah Program Saringan COVID-19 Perkeso atau sebaliknya (saringan atas inisiatif majikan sendiri) membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak binaan, JKNPP melaporkan bahawa sehingga 7 Februari 2021, seramai 49,681 orang telah menjalani saringan. Merujuk kepada trend terkini yang mana permintaan saringan daripada pihak majikan (atas inisiatif sendiri) kian berkurangan, Kerajaan Persekutuan adalah wajar memberi perhatian segera terhadap isu ini ekoran beberapa kesulitan yang dihadapi pihak majikan antaranya membabitkan kekangan kos serta ketidakupayaan menyediakan stesen kuarantin bagi pelaksanaan saringan secara menyeluruh dalam kalangan pekerja masing-masing.
Sebagai tambahan, bagi menentukan kaedah pengurusan termasuk mengklasifikasikan tahap pesakit COVID-19, sebanyak 27 buah Pusat Penilaian COVID-19 (Covid-19 Assessment Centre, CAC) telah diwujudkan meliputi lima (5) daerah di seluruh negeri ini termasuk perkhidmatan pandu lalu. Orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC di daerah masing-masing, dan semua maklumat berkaitan boleh diakses di laman Facebook JKNPP dan juga Penang Lawan COVID-19.
Serentak itu, Kerajaan Negeri turut berterima kasih dengan kelulusan RM2 juta oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung permohonan Pulau Pinang bagi pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS).
Pematuhan SOP adalah vaksin terbaik. Penang Lawan COVID-19!