Skip to content

Teks ucapan Chong Eng sempena sidang media penyerahan simbolik replika cek kepada sekolah Cina dan mubaligh

Selamat petang dan salam sejahtera.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Peruntukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2021 dibuka untuk permohonan pada 10 September 2020 dan sejumlah 89 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 12 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, 19 buah Sekolah Mubaligh serta 5 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina menghantarkan permohonan sebelum tarikh tutup iaitu 12 Oktober 2020.

5 buah sekolah yang tidak mengemukakan permohonan adalah SJKC Kuang Yu, SK St. Mark Perai, SK St. George, SMK St. George dan SK Assumption.

Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh dan ADUN kawasan memulakan lawatan ke sekolah pada 20 November dan menyerahkan laporan pada 14 Disember. Jawatankuasa bertemu dengan ADUN pada 16 dan 18 Disember 2020. Selepas pembentangan dan perbincangan dibuat, jawatankuasa hanya cadangkan kelulusan kepada 88 buah SJKC, 12 buah SMJK, 19 buah Sekolah Mubaligh dan 5 Sekolah Menengah Persendirian Cina. Sekolah yang tidak dapat kelulusan pada tahun ini adalah SJKC Aik Keow Penaga kerana peruntukan tahun lepas belum digunakan apabila penyelaras KADUN mengadakan lawatan ke sekolah pada akhir tahun 2020.

Jumlah peruntukan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa adalah RM2 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina dan RM6 juta 368 ribu kepada SJKC, SMJK dan Sekolah Mubaligh. Daripada jumlah besar itu, RM 4 juta 16 ribu diluluskan kepada 88 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; RM 1 juta 518 ribu kepada 12 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan RM 834 ribu kepada 19 buah Sekolah Mubaligh. Baki peruntukan iaitu sebanyak RM132 ribu akan ditentukan kemudian.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan

Peruntukan yang disalurkan kepada sekolah adalah wajar untuk dibelanjakan mengikut tahun pemberian dilakukan bagi tidak melengahkan penerima daripada menerima manfaat dari pemberian tersebut. Ini bermaksud peruntukan yang disalurkan pada tahun 2021 seharusnya dibelanjakan untuk tujuan yang diluluskan pada tahun 2021 juga.

Pembayaran hanya akan diberikan sekiranya projek menaiktaraf bermula. Maka, pihak sekolah dikehendaki mengemukakan surat kepada jawatankuasa untuk memaklumkan tarikh permulaan dan penutupan projek menaiktaraf. Surat tersebut seharusnya dihantar kepada pentadbiran kami sekurang-kurangya dua (2) minggu sebelum projek tersebut bermula bagi tujuan mendapatkan pembayaran.

Pembayaran hanya akan dibuat sekiranya pemohon menghantar permohonan dengan dokumen lengkap dan mematuhi tatacara kewangan yang diperlukan. Pihak penerima seharusnya menyiapkan projeknya dalam tempoh masa 3 bulan selepas peruntukan disalurkan. Laporan berkala perlu dihantar dari masa ke semasa untuk tujuan pemantauan projek.

Sumbangan yang diberikan kepada sekolah adalah wajar digunakan segera oleh pihak sekolah mengikut tujuan diluluskan dalam tahun semasa untuk mencapai objektif pemberian peruntukan Kerajaan Negeri. Jawatankuasa mempunyai hak untuk menarikbalik peruntukan yang disalurkan sekiranya projek-projek menaiktaraf tidak disiapkan dalam tempoh yang dihadkan tersebut, mengikut budi-bicara jawatankuasa.

Penukaran skop kerja atau tujuan penggunaan peruntukan adalah tidak dibenarkan sekiranya peruntukan telahpun disalurkan ke dalam akaun Lembaga Pengurus atau akaun PIBG Sekolah.

Laporan perlu dihantar bersama dengan surat makluman perlepasan peruntukan. Pihak penerima dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen berikut sebagai bukti perbelanjaan yang telah dilakukan iaitu:

  • resit pembayaran kepada pembekal/kontraktor atau lain-lain dokumen bayaran berkaitan;
  • laporan bergambar bekalan yang diterima / laporan bergambar projek yang dilaksanakan (sebelum dan selepas);
  • laporan bergambar pemberian kepada pelajar

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa, pihak sekolah dan ADUN yang terlibat kerana memberi bantuan dan kerjasama untuk menyempurnakan proses ini.

Di sini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua.

Sekian. Terima kasih

Lampiran peruntukan tahun 2021