Skip to content

Keputusan Kabinet untuk menyahklasifikasikan laporan JKTSPUKK dan laporan pengauditan forensik perolehan kapal Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik keputusan Kabinet hari ini, yang telah menerima pakai dua syor PAC yang paling penting dalam Laporan Perolehan Kapal LCS iaitu pada:

Syor 12.1: Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia dinyahklasifikasikan sepenuhnya; dan

Syor 12.5: SPRM perlu mengambil tindakan ke atas segala penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK, dan Laporan Pengauditan Forensik dengan kadar segera. Pendakwaan harus disegerakan.

PAC ingin mengingatkan Kerajaan dan menegaskan keputusan untuk menyahklasifikan laporan berkenaan perlu dilakukan sepenuhnya bukan seperti yang berlaku terhadap Laporan JKSTUPKK berkaitan Projek AES yang mana banyak maklumat telah dihitamkan dengan nama dan alasan “menjaga kepentingan Kerajaan”.

Keputusan Kabinet ini yang proaktif terhadap syor yang dikemukakan PAC membuktikan pentingnya usaha yang dilakukan Jawatankuasa ini bagi memastikan segala tatacara dan perolehan kewangan Kerajaan dipatuhi demi kepentingan rakyat dan negara.

Ia juga membuktikan bahawa cabang Legislatif mampu memainkan fungsinya yang penting untuk semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif dalam suatu sistem demokrasi parlimen yang sihat.

PAC akan terus memantau pematuhan dan pelaksanaan syor-syor PAC dalam Laporan Perolehan Kapal LCS yang lain oleh Kerajaan.