Pada hari Khamis yang lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mendedahkan berkenaan ketirisan projek pembelian 9 buah kapal tempur pesisir (LCS). Mengikut hasil prosiding PAC, rundingan terus yang dilakukan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2011 untuk mendapatkan kapal-kapal tersebut dan sehingga kini, pembayaran sebanyak RM6.083 bilion telah dibuat. Namun, tiada satu kapal pun yang telah diterima oleh pihak kerajaan!
Jelasnya, ini adalah penyelewangan yang jelas sejelasnya jelasnya. Tambahan pula, pihak-pihak yang terlibat dengan isu ini juga sepertinya tidak mahu memberikan respons yang seharusnya. Duit rakyat RM6.083 billion hilang di tangan-tangan mereka yang serakah. Kapal tempur yang seharusnya diguna pakai untuk keselamatan negara, hilang di mata!
Parti-parti dalam kerajaan tebuk atap ini seperti PAS dan BERSATU sudahpun menggesa pihak berwajib untuk menjalankan siasatan yang mendalam bagi memastikan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Walau bagaimanapun, masih ada parti-parti komponen lain di dalam kerajaan yang tidak mengambil mana-mana pendirian di dalam isu ini dan masih berdiam diri. Terutamanya MCA dan MIC perlu lantang dalam membasmi dan menentang kes rasuah yang nyata sedang berlaku!
Andainya tiada ulasan yang dapat diberikan, menteri-menteri dan timbalan menteri-menteri dari MCA dan MIC ini perlu segera melucutkan jawatan mereka. Apakah gunanya mereka ini menjawat menteri dan timbalan menteri tetapi tidak mahu bersuara di dalam isu-isu kepentingan negara? Dahulu, MCA dan MIC tidak pernah bersuara tentang kes penyelewangan terbesar di dunia, 1MDB dan sekarang, watak-watak ini kekal senyap tentang skandal kapal-kapal LCS yang menjejaskan kewibawaan negara dan keselamatan rakyat!
Keselesaan MCA dan MIC di dalam berdiam diri terhadap isu kapal-kapal LCS ini dilihat dengan terang oleh rakyat dan jikalau ini adalah prinsip yang mereka pegang, para pengundi berhak membuang mereka di dalam pilihan raya akan datang.