Skip to content

Kerajaan harus lebih tegas dalam piawaian sekolah tahfiz

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kg. Datuk Keramat. Kebakaran yang meragut nyawa 23 mangsa, 21 pelajar kanak-kanak dan dua guru sekolah, merupakan kemalangan yang boleh dicegah sekiranya langkah-langkah keselamatan tidak diabaikan.

Kemalangan ini bukanlah kes yang baru malah menurut laporan The Star, lebih daripada 200 kes kebakaran sekolah tahfiz telah dilaporkan sejak 2015.

Umum diketahui bahawa ada juga sesetengah sekolah tahfiz tidak didaftar bawah Kementerian Pendidikan malah banyak sekolah-sekolah ini juga tidak mempunyai permit. Jadi persoalanya, siapakah yang bertanggunjawab? Di manakah kemahuan politik untuk mengelakkan bencana sebegini?

Keselamatan serta piawaian tidak diberikan keutamaan oleh sesetengah pihak pengendali sekolah tahfiz. Tindakan undang-undang setimpal harus diambil terhadap yang bertanggungjawab untuk supaya peristiwa sebegini tidak diulangi lagi.

Dengan bilangan kes banyak membabitkan sekolah tahfiz, semua badan kerajaan peringkat persekutuan dan negeri harus memastikan sekolah-sekolah tahfiz mengikut piawaian Undang-undang Kecil Bangunan Seragam di bawah Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

Kerjasama di antara Jabatan Agama Islam Negeri, pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pendidikan, serta Jabatan Bomba diperlukan untuk memantau piawaian sekolah-sekolah tahfiz.

Pengusaha sekolah-sekolah tahfiz harus memberikan kerjasama dengan pihak kerajaan dan tidak memberikan sebarang alasan kerana ini melibatkan keselamatan pelajar. Oleh itu, kelonggaran tidak boleh dipertimbangkan. Sebagai contoh, jika sekolah tahfiz didirikan di kawasan perumahan, pihak sekolah harus mendapatkan persetujuan penduduk, sebelum mendapat kelulusan daripada jabatan perancang pihak berkuasa tempatan dan jabatan bomba.

Setiap sekolah tahfiz juga harus memastikan bangunan sekolah serta pelajar mendapat perlindungan insurans secara komprehensif. Bilangan pelajar di dalam sekolah tahfiz berasrama penuh juga mengikut harus Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan (Seksyen 79) berkenaan kesesakan rumah.

Setiap sekolah harus memastikan jalan keluar strategik mengikut pengesyoran jabatan bomba dan juga memastikan bahawa pengendali sekolah-sekolah tersebut mempunyai pengetahuan asas keselamatan.

Keselamatan pelajar-pelajar sekolah wajib diberi keutamaan dan tidak boleh dikompromi. Pihak sekolah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi anak-anak kita daripada apa jua kecelakaan dan elemen-elemen yg merbahayakan.

Jika kita mahukan anak-anak kita mendapat ilmu yang berkualiti, kita harus memastikan mereka mendapat ruang yang selamat.