DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam turut hadir menziarahi keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran yang mengorbankan lebih dua puluh jiwa, sebilangan besarnya kanak-kanak berusia antara 13 hingga 17 tahun.
Kami sendiri tidak dapat menahan hiba melihat kesedihan yang ditanggung oleh ahli keluarga, mengetahui bahawa mangsa kesemuanya terperangkap dan tidak dapat dibantu melarikan diri akibat tingkap yang dipasang jeriji besi dan hanya satu laluan keluar masuk yang terkunci.
Kita percaya bahawa pihak berwajib akan memberikan perhatian penuh bagi menyiasat punca kebakaran serta punca kenapa mangsa tidak dapat diselamatkan, terutamanya dengan pendedahan awal bahawa premis tersebut tidak mempunyai lesen menududuki, selain diubah suai tanpa perakuan pihak bomba.
Pun begitu, kami berharap seluruh ahli keluarga mangsa dan rakyat Malaysia dapat memberi ruang agar siasatan berlangsung dengan lancar.
Kami juga berharap agar anggota keluarga dan waris mangsa diberikan kekuatan hati dan kesabaran untuk menerima ketentuan takdir, serta berdoa semoga roh anak-anak ini ditempatkan bersama para syuhada dan solehin.
Sebagai tanda simpati dan setiakawan kami, DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menyediakan sejumlah RM8,000; untuk disumbangkan kepada anggota keluarga dan waris mangsa, dengan harapan ia dapat mendamaikan kebimbangan masing-masing dalam keadaan yang sangat mengharukan ini.