Skip to content

Kerajaan Negeri Johor didesak supaya mengumumkan tarikh pembayaran Bantuan Ihsan Johor

Hari ini adalah pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Persidangan kali ini tidak membenarkan Ahli Dewan berbahas dan tiada sesi joal jawab sama ada secara lisan atau bertulis. Sepatutnya, Kerajaan Negeri persidangan dan perbahasan perlu diadakan bagi mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat yang sedang menghadapi penularan wabak Covid-19, dan bukan seolah-olah mengelak soalan-soalan Ahli Dewan pada masa ini.

Sejak Bantuan Ihsan Johor diumumkan oleh Kerajaan Negeri Johor pada 18 April hingga sekarang sudah hampir satu bulan namun masih tiada apa-apa “bunyi” atau perkembangan tentang bantuan tunai itu. Kami di peringkat DUN telah menerima banyak pertanyaan daripada pemohon yang ingin tahu bila bantuan tunai itu akan disalurkan. Setakat ini, Kerajaan Negeri belum mengumumkan tarikh pembayaran bantuan tersebut.

Bagi DUN Johor Jaya, setakat ini kami telah mendaftarkan 4,600 pemohon tetapi semuanya menunjuk status “disemak” atau “gagal”. Mekanisme permohonan, kelulusan dan pembayaran bantuan itu secara keseluruhan boleh dikatakan tidak telus dan tidak jelas. Kerajaan Negeri pada awalnya mengumumkan bantuan tunai antara RM250 dan RM500 kepada sesiapa yang tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi ada juga pemohon yang tidak menerima sebarang bantuan itu, menunjukkan status “gagal”.

ADUN, sebagai wakil rakyat, pun tidak pasti bila bantuan itu akan disalurkan kepada rakyat yang sedang menunggu. Kerajaan Negeri juga tidak membuat sebarang pengumuman terbuka tentang jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Bantuan Ihsan Johor dan berapa ramai Bangsa Johor akan memanfaatkannya.

Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hari ini telah dilaksanakan selama 58 hari. Meskipun kelonggaran diberikan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan sektor ekonomi mula beroperasi secara berfasa, rakyat masih menghadapi masalah kewangan dan kesukaran dalam hidup.

Tujuan asal Bantuan Ihsan Johor adalah untuk membantu rakyat yang tidak menerima sebarang bantuan tetapi sikap Kerajaan Negeri yang acuh tak acuh dalam hal ini akan menyebabkan rakyat terus dihimpit masalah kewangan dan berasa kecewa.

Saya menyeru supaya Kerajaan Negeri mengutamakan kebajikan rakyat dan mengambil tindakan secara serius selain mengumumkan perkembangan kelulusan dan pembayaran Bantuan Ihsan Johor dalam masa terdekat.