Skip to content

Teruskan dasar PH yang baik

Saya tersentak dengan berita di mana seorang remaja mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 4 sebuah flat di Bayan Lepas baru-baru ini. “Kejam! Remaja tergamak campak bayi dari tingkat empat.” (https://www.google.com.my/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/kejam-remaja-tergamak-campak-bayi-dari-tingkat-empat-242816%3famp=1).

Saya mengimbas kembali pengumuman oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh, “JKM jadi pusat sehenti beri perlindungan kepada remaja dan bayi” (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/535365/jkm-jadi-pusat-sehenti-beri-perlindungan-kepada-remaja-dan-bayi).

YB Hannah mengatakan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara akan bertindak sebagai pusat sehenti untuk memberi perlindungan kepada remaja dan bayi sebelum mereka dihantar ke pusat sewajarnya.

Langkah itu merupakan usaha kerajaan Pakatan Harapan bagi memberikan perlindungan, sokongan secara bersepadu serta mengutamakan keselamatan nyawa bayi serta ibu dalam menangani kes pembuangan bayi yang makin serius dan merupakan masalah sosial yang amat kronik.

Kempen Mencegah Kehamilan Remaja dan Pembuangan Bayi melibatkan promosi poster dan infografik berhubung Talian Kasih 15999; perkongsian maklumat kepada polis dan data melalui pemetaan; pengiklanan poster-poster kempen tersebut selama satu atau dua minit di YouTube.

Kempen tersebut adalah untuk memperkasakan masyarakat dengan mengubah stigma, cara berfikir dan budaya dan meningkatkan tanggungjawab ibu bapa supaya menghubungi KPWKM melalui Talian Kasih dan whatsapp.

Saya menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Rina Harun supaya meneruskan dasar mantap tersebut dan mempergiatkan lagi kempen tersebut supaya kita semua boleh sama-sama menangani masalah pembuangan bayi ini.