Kerajaan Negeri Melaka akan mengkaji semula sistem penyaluran peruntukan kepada persatuan-persatuan sukan di negeri Melaka supaya lebih bersistematik dan adil. Hal ini mampu menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri ini seterusnya dapat memulihara keadaan semasa pembangunan kepada yang lebih mapan.
Pembangunan sukan di negeri Melaka merupakan salah satu agenda utama kerajaan negeri dan sejak saya dilantik sebagai EXCO dan mengambil alih portfolio Pembangunan Belia Dan Sukan Negeri Melaka, banyak di antara persatuan-persatuan telah merujuk kepada saya tentang kekurangan dana yang disalurkan kepada mereka untuk program-program latihan mahupun akitiviti-aktiviti lain yang menjurus kepada pembangunan sukan negeri.
Di negeri Melaka, terdapat 38 persatuan yang telah berdaftar dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) dan terdapatnya kelab-kelab sukan yang bernaung di bawah persatuan-persatuan ini. Permohonan peruntukan biasanya dilakukan oleh persatuan-persatuan di negeri Melaka melalui MSN dan permohonan ini kemudiannya akan dinilai dan tertakluk kepada kelulusan MSN. Peruntukan yang diluluskan akan disalurkan kepada persatuan-persatuan yang memohon di mana persatuan tersebut akan menjadi penyelaras supaya peruntukan tersebut disalurkan kepada kelab-kelab di bawah naungan ataupun digunakan untuk pembangunan sukan dan latihan.
Selain daripada peruntukan yang disalurkan melalui MSN, persatuan-persatuan negeri Melaka juga aktif dalam mencari penaja sebagai dana alternatif yang mampu membantu kewangan persatuan.
Setelah mengkaji sistem yang sediada berkenaan penyaluran peruntukan kepada persatuan-persatuan sukan di negeri Melaka, saya dapati terdapat kelemahan-kelamahan yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat persediaan kewangan pada peringkat awal. Penajaan yang kecil juga tidak dapat membantu persatuan-persatuan ini untuk bergiat dengan lebih aktif justeru mengekang perkembangan sukan negeri.
Berikutan daripada masalah ini, persatuan-persatuan juga telah memohon sumbangan daripada Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri melalui dana sumbangan khidmat masyarakat.
Hal ini pada pendapat saya adalah kurang adil dan secara langsung memberi implikasi kepada Ahli Parlimen dan ADUN kerana dana tersebut adalah terhad dan tidak mampu untuk merangkumi semua persatuan. Pengagihan dana ini dilakukan secara first-come-first-serve basis kerana dana sumbangan khidmat masyarakat tidak memperuntukkan secara khusus untuk tujuan pembangunan belia dan sukan. Justeru, persatuan-persatuan yang lewat mengemukakan permohonan tidak akan dapat sebarang dana atau sumbangan kerana sudah digunakan sepenuhnya.
Dengan pengkajian semula sistem penyaluran peruntukan kepada persatuan-persatuan yang lebih sistematik dan menyeluruh, maka ianya dapat diagihkan dengan sewajarnya kepada semua persatuan yang terlibat dan mereka akan dapat melakukan perancangan dan persediaan kewangan pada peringkat awal. Dengan itu, Melaka akan dapat menyaksikan pembangunan belia dan sukan yang mapan dan Melaka mampu dinaikkan sebagai sebuah negeri maju.