Kerajaan Negeri Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) antara pesalah utama dalam pemusnahan hutan paya bakau untuk kawasan-kawasan sedemikian dimajukan untuk aquakultur. Ahli Parlimen Beruas menggesa mereka supaya memelihara hutan paya bakau tersebut supaya sistem ekologi kawasan-kawasan tersebut tidak terancam.
Kerajaan Negeri Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak memiliki kawasan hutan paya bakau yang terbanyak sekali di sepanjang Sungai Segari, Sungai Dinding, Sungai Sitiawan dan Sungai Sempit di kawasan Segari, Daerah Manjung, Perak. Kerajaan Negeri Perak dan PPPNP haruslah menjadi teladan kepada rakyat dalam memelihara sistem ekologi hutan paya bakau dalam Negeri Perak.
Baru-baru ini ramai nelayan di kawasan Segari, Daerah Manjung mengadu tangkapan ketam, udang dan ikan telah semakin berkurangan kerana air sungai tercemar dan banyak kawasan-kawasan hutan paya bakau yang merupakan tempat pembiakan ketam, udang dan ikan telah dimusnahkan untuk dimajukan sebagai kolam aquakultur. Saya mendapati Kerajaan Negeri Perak dan PPPNP merupakan pesalah utama dalam perkara ini.
Kerajaan negeri telah meluluskan banyak kawasan hutan paya bakau kepada PPPNP yang kemudian menyewakan kawasan-kawasan tersebut kepada pihak ketiga untuk dimajukan sebagai kolam udang dan ikan.
Antara tanah-tanah yang diluluskan kepada PPPNP ialah tanah seluas 309.256 ekar atas PT 17012 dan PT 17013 di Wilayah Kota Siam, Segari, Mukim Lumut, Daerah Manjung, Perak untuk tujuan tersebut.
Saya menggesa supaya PPPNP menyerah balik kawasan hutan paya bakau sepanjang sungai kepada Kerajaan Negeri supaya kawawan-kawasan tersebut boleh terus dipelihara sebagai kawasan hutan paya bakau.