Skip to content

Kerajaan Negeri perlu terus meluaskan program Mama Friendly demi pembangunan wanita dan masyarakat yang sihat dan sejahtera

Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Dunia atau World Breastfeeding Week (WBW) adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh The World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) untuk mempromosikan, menyokong dan menggalakkan penyusuan susu ibu di seluruh dunia. Ianya disambut setiap tahun daripada 1 Ogos hingga 7 Ogos. Tema tahun 2020 adalah “Sokong Penyusuan Susu Ibu ke arah kesejahteraan Sejagat”.

Sempena Program Mengedar Susu Ibu yang diinisiatif oleh YB Andrew Chen, ADUN Stulang. Saya telah mengedar 3 kotak susu ibu ke 3 buah rumah dalam kawasan DUN Johor Jaya. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia buat semua ibu.

Saya memberi sokongan penuh kepada penyusu ibu yang bekerja di Singapura dan tidak dapat pulang ke negara akibat Wabak Covid-19. Walaupun berpisah dengan bayi tetapi mereka tetap bergigih dan tidak berputus asa untuk menghantar susu ibu ke rumah supaya anak dapat khasiat yang paling baik.

Sebagaimana sedia maklum, susu ibu mempunyai manfaat yang sangat banyak kepada bayi. Selain memberi manfaat dari sudut kesihatan, sentuhan fizikal dan perkembangan mental, susu ibu juga memberi kesan terhadap emosi anak seperti merapatkan hubungan antara ibu dan anak.

Itu antara sebab Kerajaan Pakatan Harapan Johor mewujudkan Program Mama Friendly pada tahun 2019, iaitu sebuah inisiatif yang menyediakan bilik khas untuk ibu mengepam susu di tempat kerja seperti pejabat dan sekolah. Langkah tersebut juga adalah untuk memudahkan ibu bekerjaya meneruskan misi menyusukan anak.

Program Mama Friendly telah menerima sambutan yang amat baik dari pelbagai pihak sehingga Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 dalam Belanjawan 2020 bagi tujuan mempromosikan dan memperluaskan Program Mama Friendly. Jumlah tersebut adalah 6 kali ganda berbanding Belanjawan 2019.

Pelan dan sasaran asal semasa saya Exco Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah untuk mewujudkan 100 buah bilik Mama Friendly bagi tahun 2020 melalui kerjasama dengan Ahli-ahli Parlimen dan sekolah-sekolah di seluruh Johor.

“Tangan Yang Menghayun Buaian Mampu Menggoncang Dunia”. Ungkapan ini memang tepat dan menggambarkan kelembutan seorang wanita terlindung di sebaliknya sifat gigih, tekun, rajin dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan serta mampu menjaga dan membesarkan anak hingga berjaya.

Saya menyeru pihak kerajaan Negeri meneruskan Program Mama Friendly Dan mencapai sasaran tahun 2020 bukan sahaja menyokong dasar penyusuan susu ibu kebangsaan demi kebaikan kaum wanita, kanak-kanak dan juga perkembangan masyarakat Malaysia yang sihat dan sejahtera.