Saya telah diminta untuk mengulas jawapan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kepada Menteri Kewangan berkaitan kontroversi penyelesaian kerajaan Malaysian dengan Goldman Sachs(GS), di mana pembayaran wang tunai USD 2.5 bilion dibuat atas salahlaku GS dalam penerbitan bon USD 6.5 bilion untuk 1MDB, yang diselewengkan selepas GS bersubahat dengan pemimpin Malaysia dan kroni mereka.
Saya tidak akan memberi komen sekarang sementara menunggu maklum balas YB Menteri Kewangan atau Kerajaan PN kepada Tan Sri Tommy Thomas. Sebelum ini, YB Menteri Kewangan telah cuba mempertahankan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima pembayaran wang tunai USD2.5 bilion sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menuntut USD 7.5 bilion; yakni PN hanya menerima satu pertiga daripada tuntutan asal.
Alasan bahawa PN pragmatik dan bukan populis telah ditangkis dengan begitu tegas sekali oleh Tan Sri Tommy Thomas kerana hakikatnya, tindakan pendakwaan jenayah ke atas 17 pegawai GS oleh PH adalah faktor utama yang membuat GS gelabah dan mahu cari penyelesaian dengan kerajaan Malaysia. Justeru, PN amat tergopoh-gapah menyelesaikan isu ini dengan bersetuju untuk menerima hanya satu pertiga daripada tuntutan asal USD 7.5 bilion sedangkan jumlah yang lebih banyak boleh diperolehi apabila kes dibicarakan nanti. Malah Tan Sri Tommy Thomas telah menjelaskan bahawa mahkamah pun boleh memutuskan bayaran yang lebih besar oleh GS selain hukuman penjara. (Rujuk kenyataan Tan Sri Tommy Thomas)
Tan Sri Tommy Thomas juga menyatakan bahawa aset 1MDB “tambahan” yang dikembalikan kepada negara sebanyak USD 1.4 bilion sebenarnya bukan datang daripada GS tetapi daripada usaha Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang telah merampas aset tersebut tanpa bergantung kepada GS. Oleh itu GS telah melepaskan diri daripada tanggungan salahlaku bersubahat dengan pemimpin Malaysia dan kroni mereka dengan hanya membayar satu pertiga atau USD 2.5 bilion daripada tuntutan asal USD 7.5 bilion.
Bertentangan dengan apa yang didakwa YB Menteri Kewangan, PN sebenarnya mengambil tindakan populis dan tidak pragmatik apabila kerajaan dengan tergopoh gapah menuntut bayaran awal yang jauh lebih rendah. Tindakan pragmatik adalah seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Tommy Thomas, iaitu, tunggulah sehingga perbicaraan jenayah ke atas GS bermula agar dapat bayaran wang tunai secara langsung yang lebih besar dan wajar daripada GS.
Kini rakyat Malaysia menunggu maklum balas PN kepada Tommy Thomas.