Skip to content

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan dan perancangan untuk menaik taraf fasiliti-fasiliti kesihatan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kelulusan dan perancangan untuk menaik taraf fasiliti-fasiliti kesihatan, khususnya di negeri ini.

Semestinya ini akan menjadi khabar gembira kepada rakyat Pulau Pinang, dan Kerajaan Negeri komited serta akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam merealisasikan projek-projek pembangunan ini.

NO. SOALAN : 133

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA,
PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023

PERTANYAAN : BERTULIS
DARIPADA : TUAN CHOW KON YEOW [BATU KAWAN]
SOALAN

TUAN CHOW KON YEOW [BATU KAWAN] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan adakah perancangan untuk menaik taraf hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan Kerajaan di Pulau Pinang. Perincikan projek-projek naik taraf institusi-institusi perubatan berkaitan sejak tahun 2018 sehingga kini bagi setiap negeri dan kos terlibat.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian ini sememangnya mempunyai perancangan untuk menaik taraf fasiliti-fasiliti kesihatan di Pulau Pinang sama ada hospital mahupun klinik kesihatan. Untuk makluman, Kementerian ini sedang merancang untuk membangunkan semula beberapa fasiliti yang terdapat di sana. Ini bagi memastikan keadaan infrastruktur berada dalam keadaan optimum agar dapat menampung pertambahan beban kerja, menyokong perluasan perkhidmatan serta menjamin keselamatan dan keselesaan di fasiliti-fasiliti yang terlibat. Antara fasiliti yang menjadi perhatian KKM ialah Hospital Sungai Bakap, Hospital Bukit Mertajam dan Klinik Kesihatan Butterworth. Kajian yang menyeluruh akan dibuat memandangkan pelan pembangunan yang holistik sebegini bakal memberikan implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan.

2.Terbaharu, Projek Naik Taraf Jabatan Kecemasan Dan Pesakit Luar, Hospital Balik Pulau telah pun siap dan diserahkan kepada KKM pada bulan Mac 2023. Selain itu, dalam masa terdekat, terdapat tiga (3) buah projek lain yang dijangka akan siap iaitu:

i. Pertama, Projek Pembinaan Multi-storey Block Hospital Seberang Jaya yang dijangka siap pada penghujung tahun ini yang akan menyumbangkan 316 tambahan katil;

ii. Kedua, Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara (Jenis 3) (dijangka siap pada November 2023); dan

iii. Ketiga, Klinik Kesihatan Air Putih (Jenis 3) dan kuarters (dijangka siap pada Julai 2023).

3. Selain itu, terdapat lima (5) buah lagi projek yang sedang dalam fasa perancangan awal, perolehan dan pembangunan reka bentuk iaitu:

i. Pertama, Projek Kompleks Wanita dan Kanak-kanak Hospital Pulau Pinang yang akan memberikan 329 katil tambahan;

ii. Kedua, Projek Blok Pakar dan Wad Hospital Pulau Pinang yang dijangka akan ditender pada pertengahan tahun ini yang bakal menyumbangkan 216 katil lagi;

iii. Ketiga, Projek Blok Baharu Perkhidmatan Stem Sel Hospital Pulau Pinang yang dijangka akan ditender pada Julai 2023; dan

iv. Keempat, Projek Klinik Kesihatan Mak Mandin (Jenis 3) beserta kuarters yang baharu diluluskan dalam RP3 RMKe-12.

4. Sebagai permulaan kepada pembangunan fasiliti kesihatan di Pulau Pinang yang lebih holistik, terdapat beberapa projek telah pun dipohon kepada pihak EPU melalui RP4 RMKe-12 seperti projek-projek naik taraf di Klinik Kesihatan Butterworth, Klinik Kesihatan Penaga dan Bangunan ILKKM sebagai Klinik Kesihatan George Town, Pulau Pinang.

5. Bagi tempoh dari tahun 2018 sehingga 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 5,184 projek naik taraf institusi-institusi kesihatan dan perubatan yang melibatkan kos sebanyak RM898.4 juta. Perincian projek-projek tersebut mengikut tahun adalah seperti berikut:

TAHUN BIL. PROJEK JUMLAH PERUNTUKAN
2018 1861 RM225.01 juta
2019 486 RM119.27 juta
2020 103 RM128.82 juta
2021 925 RM287.07 juta
2022 1881 RM138.23 juta

6. Bagi tahun 2023 pula, KKM telah diperuntukkan sebanyak RM204.2 juta bagi melaksanakan 979 projek naik taraf dan baik pulih fasiliti-fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara.