Skip to content

Kerajaan perlu umumkan KPI bagi larangan pemanduan kenderaan barangan di Cameron

Pada 15 Jun 2023, JKR Daerah Cameron Highlands telah memaparkan dokumen warta kerajaan melalui sosial media dan mengumumkan bahawa larangan pemanduan kenderaan barangan di Cameron Highlands pada hujung minggu dan cuti akan berkuat kuasa pada 16 Jun (hari ini).

Walaupun ramai pekebun, pengusaha logistik, pemborong, dan saya sendiri mengutarakan bantahan banyak kali, Kerajaan masih mengekalkan keputusan untuk melaksanakan larangan kenderaan barangan.

Saya telah menegaskan dalam Sidang Dewan Negeri Pahang dan kepada pelbagai Kementerian dan agensi bahawa bukan sahaja larangan tersebut tidak dapat menyelesaikan kesesakan lalu lintas, tetapi langkah ini mungkin memudaratkan rangkaian logistik sayuran.

Sekiranya rangkaian logistik dan bekalan sayur pada hujung minggu dan cuti terjejas, bukan sahaja pekebun dan pemborong menghadapi kesan negatif, tetapi hak pengguna di seluruh Malaysia yang berhasrat membeli sayuran yang murah dan segar juga mungkin terjejas.

Lantaran itu, saya dengan hormatnya menyeru Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi pencerahan terhadap beberaa persoalan berikut:

  1. Apakah Key Performance Index (KPI) yang telah ditentukan oleh kerajaan bagi mengenal pasti tahap keberkesanan larangan pemanduan kenderaan barangan?
  2. Sekiranya kesesakan lalu lintas masih ketara setelah larangan tersebut berkuat kuasa, adakah kerajaan sudi menyemak semula atau membatalkan larangan?
  3. Adakah kerajaan sudi mempertimbangkan cadangan alternatif yang berjangka masa pendek dan panjang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas?

Sebelum ini, saya telah menulis kepada Kerajaan Negeri dan beberapa Kementerian dan agensi berkenaan dengan mengemukakan 7 cadangan alternatif seperti berikut:

Tiga Cadangan Berjangka Masa Pendek:

  1. Menggunakan tempat letak kereta swasta di sekitar Kea Farm yang merupakan hotspot kesesakan lalu lintas;
  2. Mendapatkan data terkini bagi memaklumkan kepada pelancong tentang tempat letak kereta yang kosong;
  3. Larangan pemanduan kenderaan barangan hanya terhad kepada barangan non-essential.

Empat Cadangan Berjangka Masa Sederhana dan Panjang:

  1. Membina tempat letak kenderaan bertingkat dan berteknologi tinggi;
  2. Memperkenalkan Park and Ride System;
  3. Mewujudkan pengangkutan awam yang menunjukkan keunikan Cameron Highlands;
  4. Mempercepatkan pelaksanaan Jalan Pintasan Cameron Highlands.

Walaupun kerajaan tetap melaksanakan larangan pemanduan kenderaan barangan, saya menyeru jabatan kerajaan berkenaan untuk mengumumkan KPI kepada orang ramai berlandaskan prinsip ketelusan dan profesionalisme agar penduduk tempatan dan rakyat boleh menilai tahap kejayaan larangan tersebut.

Pada masa yang sama, saya menyeru kerajaan agar sentiasa terbuka dan bersedia menyemak semula atau membatalkan larangan pemanduan tersebut sekiranya larangan tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas. Yang mustahaknya, semua langkah dan polisi yang dilaksanakan perlulah menjamin kepentingan semua pihak, termasuk pekebun, pengusaha logistik, pemborong, penjual sayur, dan para pengguna di seluruh Malaysia.

Pautan: Pengumuman JKR mengenai pelaksanaan larangan pemanduan kenderaan barangan di Cameron Highlands
https://www.facebook.com/100064670472791/posts/pfbid0hF6gLcyq2SKiKBcoFqpp65ibksoM5iBTRtEvrHMzgY9fyj4np4LkfdF3TnuRUjVUl/?mibextid=cr9u03