Terdapat banyak naratif salah di Malaysia hari ini yang diasaskan kepada penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian.
Sesetengah naratif palsu ini cuba mengatakan yang orang Islam di Malaysia perlu memilih sama ada mahu menjadi penternak lembu atau penternak khinzir, manakala satu lagi pula cuba mengatakan yang orang Melayu dan orang Islam sedang terancam di Malaysia.
Rakyat Malaysia, sama ada Islam atau bukan Islam, tidak mahu menjadi penternak lembu atau penternak khinzir, sebaliknya kita semua mahu menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya dan tamadun kepada seluruh dunia.
Atau seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Adakah visi untuk rakyat Malaysia menjadi juara dunia, menunjukkan contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun, atau menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dikatakan Tunku ini berada di luar kapasiti dan kebolehan intelek generasi hari ini?
Saya tidak berasakan begitu. Saya tidak rasa yang visi kita semasa kita mencapai kemerdekaan lebih dari setengah abad yang lepas pada tahun lima puluh dan enam puluhan kini berada di luar kapasiti apa yang dapat dicapai oleh rakyat Malaysia dalam abad ke-21 – saya juga tidak merasakan yang negara kita sudah ditakdirkan untuk terus terjunam ke arah menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk dan bukannya menjadi sebuah negara terbaik dunia.
Sejak kita mencapai kemerdekaan, ramai rakyat Malaysia telah berhijrah untuk menjadikan negara-negara lain yang hebat, untuk mengubah negara-negara ini dari sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju dalam tempoh dua generasi.
Rakyat-rakyat Malaysia ini sepatutnya berada di Malaysia untuk menjadikan Malaysia hebat.
Adakah orang Melayu dan Islam di Malaysia sedang terancam?
Mereka yang percaya orang Melayu dan Islam di Malaysia sedang terancam patut melawat ke Museum Kesenian Islam Malaysia, yang telah saya lawati semalam.
Museum ini ditubuhkan pada bulan Disember 1998 sebagai respons terhadap minat yang semakin berkembang terhadap kesenian Islam di seluruh dunia. Dengan kesedaran ini, Malaysia telah menjadi rumah kepada museum terbaik dalam menjaga, mengumpul, memulihara, dan mendidik mengenai kesenian Islam.
Di antara tarikan utama adalah galeri-galeri dunia India, China, dan Melayu.
Pelawat dapat mempelajari mengenai perkembangan pesat tamadun Islam dan Islam kini adalah agama yang paling pantas tersebar di dunia.
Mereka yang menyebarkan naratif palsu kononnya Melayu dan Islam kini sedang terancam patut melawat Museum Kesenian Islam ini untuk menyedari betapa salahnya “perang saraf siber” mereka yang diasaskan kepada penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian.
Perkara ini menjadi satu ancaman besar kerana hampir mustahil untuk kerajaan dan rakyat yang bimbang mengenai perkara ini untuk menggerakkan konsensus negara untuk mengambil tindakan untuk melawan naratif-naratif palsu sebegini.
Semua orang perlu bimbang dengan kebanjiran “berita palsu” dan peningkatan gambar-gambar palsu yang mengaburi garis di antara realiti dan fiksyen dan mengganggu maklumat dan kepercayaan.
Rakyat Malaysia perlu mengubah krisis maklumat dan kepercayaan pada hari ini kepada satu peluang untuk menyelesaikan krisis di mana rakyat Malaysia membangunkan kecelikan media untuk boleh membezakan di antara perkara yang betul dan yang palsu, membezakan di antara maklumat dan berita palsu.
Marilah kita gunakan enam pilihan negeri yang bakal berlangsung ini sebagai langkah untuk menentukan sama ada Malaysia sedang menjunam merosot menjadi sebuah negara yang berpecah belah dan gagal atau berlumba ke atas menjadi juara dunia dan contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, tidak boleh membazirkan peluang untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas sebuah Malaysia yang majmuk – kerana peluang sebegini tidak mungkin akan muncul lagi buat kali kedua.
Kerana inilah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong telah menasihati semua rakyat Malaysia untuk mengekalkan kestabilan politik dan memulihkan perpaduan negara supaya rakyat Malaysia mampu untuk menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Penubuhan Kerajaan Perpaduan Anwar ini telah memberikan peluang unik untuk kita tetapkan semula dan kembalikan negara kepada prinsip-prinsip pembinaan negara Malaysian yang majmuk – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Adakah kita ingin terus bertelagah di antara satu sama lain dan membiarkan ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur untuk terus mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama di dalam negara melalui penipuan, fitnah, dan berita palsu yang kononnya ada kaum atau agama tertentu sedang diancam untuk dihapuskan oleh kaum atau agama lain, atau adakah kita akan bangkit kepada realiti yang “Masa tidak Menunggu Sesiapa” dan persaingan sebenar untuk rakyat Malaysia adalah bukan di antara kita tetapi sebenarnya dengan seluruh dunia.
Adakah rakyat Malaysia akan terus untuk berhijrah ke luar negara untuk menjadikan negara lain yang hebat atau adakah kita akan bersatu padu dan memastikan adanya kestabilan politik untuk menjadikan Malaysia yang hebat?
Bolehkah Malaysia menyumbang ke arah keamanan dan keharmonian dunia untuk mengelakkan pertembungan di antara tamadun?
Saya percaya Malaysia, yang berada di titik pertemuan empat tamadun hebat, mampu memainkan peranan ini.
Teater Impian, yang ada di Wikipedia, didedikasikan kepada Impian Malaysia untuk negara kita menjadi sebuah negara juara dunia sekali lagi.
Kita perlu penuhi dimensi antarabangsa dengan Impian Malaysia.
Tetapi, rakyat Malaysia perlulah bersatu padu terlebih dahulu dan memastikan adanya kestabilan politik di dalam negara.