Kerajaan PN menyalahkan semua orang kecuali mereka sendiri di atas PICK yang lemah, salah urus pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi. Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein telah mendesak PN untuk belajar dari kesilapan dalam pertempuran memerangi Covid-19, mengkritik birokrasi dalam kerajaan sebagai “penghalang utama” bagi usaha vaksinasi negara dan menerima bantuan dan kerjasama antarabangsa yang sangat diperlukan.
Kerajaan PN sangat tidak bertanggungjawab dan tidak kompeten apabila secara konsisten meneruskan naratif bahawa krisis kesihatan COVID-19, krisis ekonomi dan politik tidak ada kaitan dengan mereka. Hishammudin memberikan tiga cadangan, iaitu pelaksanaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang konsisten, mempercepat kelulusan vaksin dan pelaksanaan PICK serta ujian massa. Cadangan ini bukanlah perkara baru dan telah dinyatakan berulang kali oleh PH sebelum ini namun tidak dihiraukan.
Tindakan terus menerus menyalahkan rakyat dan kini menyalahkan birokrasi adalah sesuatu yang memalukan. Hishammudin perlu berani mengakui bahawa amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara VIP dan rakyat biasa serta pusingan U berulang dalam pematuhan SOP PKP telah mengakibatkan rekod tertinggi jangkitan harian dan jumlah kematian. Dasar yang berubah-ubah antara Kementerian berkenaan ekonomi dan perniagaan mana yang boleh atau tidak boleh beroperasi semasa PKP ‘total lockdown’ memberi kesan yang teruk kepada perniagaan. Dan sekarang, penjawat awam pula dijadikan kambing hitam terhadap kelulusan vaksin yang perlahan dan pelaksanaan PICK yang lembab, sedangkan pemimpin kerajaan sendiri yang gagal mendapatkan bekalan vaksin lebih awal yang seterusnya mengakibatkan kelewatan penghantaran.
Sekiranya ini adalah yang terbaik yang dapat dilakukan oleh seorang menteri kanan, maka tidak hairanlah berlakunya kehilangan keyakinan dan defisit kepercayaan orang ramai. Hishammudin sepatutnya mendesak perubahan pendekatan dari membawa rakyat kepada vaksin kepada membawa vaksin kepada rakyat dengan meningkatkan jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebanyak 2,000 lagi dari 381 yang ada di negara ini. Peningkatan bilangan PPV akan membantu mendekatkan vaksin kepada rakyat, terutama di kawasan luar bandar.
Tanpa meningkatkan jumlah PPV sebanyak 2,000 buah lagi, amat sukar untuk mencapai sasaran kerajaan sendiri iaitu 150,000 dos harian pada bulan Jun, 200,000 dos harian pada bulan Julai dan 300,000 dos harian pada bulan Ogos. Setakat ini, 124,618, 133,804, dan 128,912 dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh negara masing-masing pada 11, 12, dan 13 Jun, yang masih di bawah 150,000 dos harian yang disasarkan.
Bagaimana sasaran 300,000 dos harian menjelang Ogos dapat dicapai dengan hanya 381 PPV, terutama apabila ramai yang tinggal jauh dari PPV? Malaysia hanya dapat mencapai imuniti kelompok 80% penduduk dengan membawa vaksin kepada rakyat dan bukan sebaliknya.
Masanya sudah tiba bagi Kerajaan PN menjadi matang dan bertanggungjawab atas kesilapan mereka. PN perlu berhenti dengan sikap tidak menerima kenyataan. Jika Kerajaan PN tidak mengakui kesalahan mereka, mereka tidak akan dapat memperbaiki kesalahan yang telah berlaku, merancang semula dan mengambil jalan yang betul untuk mengatasi COVID-19 dan krisis ekonomi.