Skip to content

MKN digesa nyatakan secara spesifik kawasan PKPD di Kampung Sungai Penchala

Hari ini telah masuk hari ke-5 perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Penchala #Segambut. Namun, sehingga hari ini penduduk di Kampung Sungai Penchala ada yang masih keliru dengan lokasi spesifik PKPD. Saya dimaklumkan PKPD di sini hanya membabitkan beberapa buah jalan tertentu sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan di dalam Kampung Sungai Penchala. Saya telah meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelaskan perkara ini tetapi masih tiada pengumuman daripada MKN. Keadaan ini telah menimbulkan kesukaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan selain jalan-jalan terbabit termasuk mereka yang bergaji harian dan dipaksa bercuti tanpa gaji oleh majikan mereka kerana dianggap berada di dalam kawasan PKPD. Akibat daripada kehilangan punca pendapatan dan takut untuk keluar daripada kediaman masing-masing kerana pengumuman PKPD, mereka ini turut terjejas dan memerlukan bantuan makanan sedangkan keutamaan MKN hanya tertumpu kepada penduduk di dalam kawasan PKPD sahaja.

Oleh itu MKN digesa untuk mengumumkan dengan jelas mana-mana kawasan yang terjejas dan menyatakan secara spesifik jalan-jalan yang terlibat dalam PKPD di Kampung Sungai Penchala untuk mengelakkan kekeliruan dan memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk terutamanya untuk tujuan bekerja. Selain itu, penyebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa terdapat 65 orang penduduk melarikan daripada kawasan PKPD di Kampung Sungai Penchala dan angka kematian Covid akan dapat dielakkan jika MKN mempunyai data yang sentiasa dikemaskini dan memaklumkannya kepada penduduk dari semasa ke semasa untuk tujuan memerangi penyebaran mesej palsu seperti ini.