Kerajaan PN tidak boleh memaksakan pembentukan Parlimen hibrid yang baharu menjadi sebuah Parlimen ‘rubber stamp’ dengan tidak melibatkan kedua-dua Ahli Parlimen Pembangkang dan Jawatankuasa Tetap Parlimen dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid yang baru ditubuhkan. Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim mendedahkan bahawa anggota jawatankuasa tersebut termasuk Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan ketua pentadbir Parlimen.
Ketua Pembangkang atau wakilnya tidak dilibatkan untuk menentukan sifat, bentuk dan format Parlimen hibrid yang baharu ini. Juga tidak ada penyertaan dari Jawatankuasa Perintah Tetap Parlimen, yang dibentuk di bawah Perintah Tetap 78 Dewan Rakyat, bagi menentukan sebarang pindaan kepada Perintah Tetap.
Jawatankuasa Perintah Tetap Parlimen terdiri daripada wakil-wakil dari Pembangkang bagi menegakkan prinsip asas bahawa Parlimen adalah milik semua Ahli Parlimen, sama ada dari kerajaan atau pembangkang. Sepatutnya, Jawatankuasa Perintah Tetap Parlimen harus dilibatkan dan bermesyuarat kerana pembentukan Parlimen hibrid memerlukan pindaan terhadap Perintah Tetap sedia ada.
Dengan tidak melibatkan Ahli Parlimen Pembangkang mengenai apa yang diperlukan oleh Parlimen hibrid, adalah pelanggaran konvensyen Parlimen dan penyalahgunaan kuasa yang mengikis asas Parlimen sebagai sumber punca demokrasi. Ahli Parlimen Pembangkang juga adalah sebahagian daripada cabang perundangan Perlembagaan Persekutuan seperti Ahli Parlimen Kerajaan.
Sekiranya hanya Ahli Parlimen Kerajaan yang dapat memutuskan peraturan prosedur bagaimana mesyuarat Parlimen hibrid dijalankan, Parlimen ‘rubber stamp’ ini bermaksud berakhirnya Parlimen sebagaimana yang kita ketahui. Jadi bagaimana Ahli Parlimen Pembangkang dapat memainkan peranan utama mereka dalam memastikan sebuah Parlimen yang berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan melalui pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan?