Merujuk kepada laporan berita bertarikh 6 Jun 2021 yang menyatakan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah mewujudkan Trak Vaksin Bergerak atau ‘Mobile Vaccine Truck’ supaya penduduk di Wilayah Persekutuan boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk in’ dengan keutamaan akan diberikan kepada mereka dalam kategori rentan dan terjejas. Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya trak vaksin bergerak ini ditempatkan di tempat tumpuan awam seperti di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang juga mempunyai fasiliti awam dan tempat letak kereta yang luas.
Langkah untuk menempatkan trak vaksin bergerak di lokasi seperti di pasar awam DBKL atau di pasar besar akan membantu para peniaga dan pekerja mereka menerima vaksin dengan lebih cepat kerana saban hari mereka terpaksa berinteraksi dengan ribuan pengunjung pasar atau penghantar barang bermotosikal yang berkemungkinan terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19. Saya difahamkan pasar awam saiz besar seperti ini mempunyai pengunjung sekitar 1200 -1500 orang setiap hari dan boleh mencecah 3000 orang pada hujung minggu (ini sudah hampir saiz satu PPV mega). Cadangan ini akan melindungi pengunjung pasar yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan warga emas. KWP harus mengambil pengajaran daripada kes kluster pasar borong yang berlaku tahun lepas yang turut melibatkan peniaga dan ahli keluarga mereka, pengunjung serta orang yang mempunyai kontak rapat dengan mereka. Cadangan ini jika dilaksanakan berpotensi mengelakkan kluster besar dan memberikan keselesaan minda kepada semua pihak.