Skip to content

Kerajaan pusat kehabisan dana untuk bantu mangsa banjir Pulau Pinang, tetapi ada wang untuk membiayai video berita palsu, iklan-iklan akhbar dan poster propaganda untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang

Pada 19 Mac 2018, saya telah menanyakan soalan di dalam Parlimen berkenaan status dana bantuan banjir seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri untuk mangsa banjir Pulau Pinang November 2017 yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim telah menjawab bahawa hanya RM5,467,250 sahaja akan diagihkan kepada 21,869 keluarga di Pulau Pinang di mana setiap keluarga menerima RM250. Wang tersebut pula hanya mulai diagihkan bermula 11 Mac 2018, empat bulan selepas bencana yang melanda pada November 2017 tersebut.

Untuk rekod, kerajaan negeri Pulau Pinang telah pun mengagihkan sebanyak RM36,647,100 kepada 52,353 buah keluarga pada Disember 2017, hanya sebulan selepas negeri Pulau Pinang dilanda bencana. Setiap keluarga telah menerima RM700 daripada Kerajaan Negeri.

Pada 2015, kerajaan pusat telah mengagihkan sebanyak RM500 kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan Pahang.

Pada 7 November 2017, dalam lawatan ke Pulau Pinang, Perdana Menteri Najib Razak telah menjanjikan agihan yang serupa untuk Pulau Pinang.

Pada Februari 2018, Shahidan Kassim turut mengumumkan di Perlis bahawa kerajaan pusat akan mengagihkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat di semua 10 negeri.

Sebaliknya, mangsa banjir di Pulau Pinang hanya menerima RM250.

Itu pun, tidak semua keluarga yang menjadi mangsa menerima bantuan tersebut.

Apabila saya memohon di dalam Parlimen agar kerajaan pusat menaikkan jumlah bantuan kepada RM500, jawapan Menteri adalah kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk tujuan tersebut.

Ini bukan sahaja mengecewakan malah amat mengejutkan.

Barisan Nasional boleh membelanjakan jutaan ringgit di Pulau Pinang untuk membiayai video-video palsu yang dihasilkan secara professional, iklan-iklan di dalam akhbar, dan poster-poster propaganda bagi tujuan menjatuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang, namun tidak cukup dana untuk membantu mangsa banjir di Pulau Pinang!

Mengapa warga Pulau Pinang perlu dianak tirikan? Rakyat Pulau Pinang juga merupakan pembayar cukai, bukan seperti Jho Low dan Riza Aziz.

Kita tidak meminta kerajaan pusat untuk menandingi jumlah yang disumbangkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, cukup sekadar menyamai jumlah yang diberi kepada mangsa banjir di negeri lain, seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.