Pada 6 Januari 2018, MIC telah menganjurkan satu program yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada masyarakat India di negara kita. Program Natchathira Vizha 2018 anjuran MIC telah menyinggung perasaan ramai kerana ia tidak menguntungkan kaum India. Apakah tujuan program ini diadakan? Saya tidak nampak satu matlamat yang jelas daripada program ini. Yang nyata, artis-artis dari negara India telah memperbodohkan kita untuk mengutip dana bagi tujuan membina satu bangunan untuk pertubuhan mereka di Tamil Nadu.
Saya rasa kecewa dengan pemimpin-pemimpin MIC yang menjadi orang tengah bagi menganjurkan program ini untuk kepentingan artis-artis dari negara India. Sebelum ini, tidak pernah ada apa-apa usaha daripada pihak MIC untuk menganjurkan program seperti ini bagi mencari dana untuk artis-artis tempatan. Artis-artis India tempatan tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan. Tetapi, MIC menganjurkan program mengutip dana untuk membantu artis- artis dari negara India.
Kononnya, program Natchathira Vizha ini mengeratkan hubungan artis-artis tempatan dengan artis- artis dari negara India. Bagaimanakah hubungan antara artis-artis ini selepas 2 bulan? Saya pasti tidak ada apa-apa hubungan lagi. Sanggupkah kerajaan Tamil Nadu menganjurkan program seakan Nachathira Vizha di India untuk mengutip dana membantu artis-artis tempatan kita? Pastinya, kerajaan Tamil Nadu tidak akan membuat kerja bodoh seperti itu. Jadi, siapakah yang menjadi bodoh menganjurkan program ini?
Berhubung dengan isu ini, saya telah menanyakan satu soalan lisan di Dewan Rakyat pada 20 Mac 2018. Saya telah meminta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan jumlah peruntukan kerajaan melalui kementerian- kementerian tertentu untuk program Nachathira Vizha 2018. Saya juga meminta beliau nyatakan jumlah pendapatan secara terperinci, kos yang ditanggung dan derma yang dibawa balik ke India oleh artis-artis negara berkenaan.
Dalam jawapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, beliau mengaku bahawa kementeriannya melalui Malaysian Convention & Exhibition (MyCEB) telah menyokong dan menyediakan bantuan kewangan berjumlah RM1.0 juta bagi penganjuran program Natchathira Vizha 2018. Pertama, apakah perlunya untuk kementerian ini untuk menyumbangkan dana untuk program tersebut? Padahal, dana tersebut boleh digunakan untuk membantu artis-artis tempatan.
Menteri juga menyatakan kos keseluruhan penganjuran program ini adalah sebanyak RM5.33 juta. Pada pandangan saya, jumlah kos yang disebutkan itu adalah terlalu besar seolah-olah ada pihak tertentu telah ‘mendapat untung atas angin’ melalui program ini. Saya juga ingin tahu dari manakah datangnya wang selebihnya untuk membiayai kos program itu? Hasil penjualan tiket ? Kalau begitu, berapakah hasil yang diperolehi daripada hasil penjualan tiket kepada orang ramai? Kenapakah Menteri tidak mahu menjawab soalan saya mengenai hasil atau pendapatan yang diperolehi daripada program ini? Apakah yang dirahsiakan bagi melindungi pihak penganjur? Jelas sekali, Menteri mengelak dari menjawab pendapatan berkenaan, kerana ini akan membongkarkan keuntungan yang diperolehi oleh penganjur daripada penjualan tiket dan penajaan-penajaan tempatan serta dari negara India.
Menurut Menteri lagi, program 2 hari Natchatira Vizha yang dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu telah menghimpunkan seramai 450 artis serta selebriti terkenal dari selatan India dan Malaysia. Kehadiran pengunjung direkodkan berjumlah 37,705 orang terdiri dari 8,335 pengunjung luar negara sementara 29,370 adalah pengunjung domestik.
Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan lagi, kehadiran pengunjung ini telah memberi pulangan ekonomi melalui perbelanjaan pelancongan sebanyak RM43.6 juta kepada negara. Pertama sekali, saya tidak membangkitkan persoalan mengenai pulangan ekonomi kepada negara. Kedua, saya tidak boleh bersetuju dengan angka yang sengaja ditiup besar untuk menunjukkan seolah-olah program ini telah berjaya. Angka RM43.6 juta adalah spekulatif semata-mata yang tidak boleh dibuktikan kebenarannya.
Soalan saya yang akhir adalah mengenai jumlah wang derma yang dibawa balik oleh artis-artis India ke negara mereka. Tetapi, sekali lagi Menteri telah mengelak menjawab soalan tersebut untuk menjaga kepentingan politik rakan sekutunya daripada parti MIC. Beliau cuba membantu MIC dengan berhujah bahawa South Indian Artistes’ Association (SIAA) telah menyalurkan derma sebanyak RM100,000 kepada Gabungan Persatuan-persatuan Seni India Malaysia (GASIM).
Saya tidak berminat untuk mengetahui derma ‘peanut’ yang diterima oleh GASIM. Soalan saya ialah jumlah wang yang dibawa balik oleh artis-artis dari negara India. Kenapakah jawapan saya tidak dijawab? Siapakah telah mengaut keuntungan daripada program Natchatira Vizha 2018?