Skip to content

Kerajaan salah membaca ekonomi negara dalam melaksanakan RMK 11 dan mencapai Wawasan 2020

Kerajaan telah membuat bacaan ekonomi yang salah dalam mengariskan Rancangan Malaysia Ke 11 yang akan bermula pada tahun hadapan dan berakhir pada tahun 2020. Rancangan Malaysia Ke 11  merupakan rancangan lima tahun terakhir sebelum Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Persoalannya bolehkah matlamat ini dicapai oleh negara kita dalam keadaan ekonomi yang semakin lembab.

Pada hemat saya, kerajaan telah membuat bacaan yang salah tentang prospek ekonomi negara kita dalam tempoh 5 tahun akan datang. Saya rasa amat khuatir samada Malaysia boleh melangkah maju ke hadapan kerana pelbagai kegawatan akan melanda negara kita dalam tempoh tersebut. Berikut adalah gambaran yang dilihat oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 11 mengenai ekonomi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020.
 
“Ekonomi negara kekal kukuh walaupun menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia yang mempunyai risiko kepada ekonomi kecil dan terbuka seperti Malaysia. Asas ekonomi yang kukuh telah membolehkan negara mengharungi beberapa kejutan ekonomi sebelum ini. Melangkah ke hadapan, asas ekonomi akan terus diperkukuh bagi memastikan negara berdaya tahan dalam menghadapi risiko dan ketidaktentuan luar. Pengukuhan ini akan  dapat dicapai dengan memantapkan permintaan dalam negeri, mempelbagaikan asas ekonomi, meningkatkan simpanan dalam negeri , mengukuhkan kedudukan fiskal, mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan mengukuhkan lagi sistem kewangan. Pertumbuhan ekonomi yang stabil juga akan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan pelaburan jangka masa panjang “.

Kerajaan telah memberi gambaran bahawa ekonomi negara kita adalah mantap dan kita bersedia menghadapi cabaran-cabaran dalaman dan luaran. Ini adalah tidak benar. Negara kita sedang mengalami ketenatan ekonomi pada masa ini.  Indikator ekonomi manakah yang membuktikan bahawa prestasi negara kita berada dalam tahap yang kukuh seperti yang didakwa oleh kerajaan? Bahang ketidaktentuan  ekonomi global telah pun memberi kesan yang buruk kepada negara kita apabila harga petroleum pasaran antarabangsa menurun. Ini menyebabkan pendapatan negara mengucup. Pada masa yang sama, pasaran komoditi-komoditi lain seperti kelapa sawit dan getah juga terumbang-ambing. Keadaan ini sudah pasti mengganggu makroekonomi negara.

Selain daripada itu, penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia juga akan memberi kesan yang cukup buruk kepada imbangan perdagangan negara kita. Barang-barang yang diimport akan menjadi semakin mahal. Ini akan memberi kesan yang buruk kepada rakyat negara kita yang terpaksa membayar lebih untuk membeli barang-barang tersebut.

Tambahan pula, kerajaan telah melaksanakan cukai GST pada tahun ini. GST telah meningkatkan beban rakyat. GST juga telah menyebabkan harga barangan meningkat dan memberi impak yang cukup buruk kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Penurunan nilai matawang Ringgit dan pelaksanaan GST akan mewujudkan inflasi yang tinggi di negara kita. Ini akan mengurangkan pendapatan bolehguna rakyat yang akhirnya menjejaskan tahap sosio ekonomi mereka.

Pengantungan kepada tenaga  buruh asing yang semakin ketara juga akan mengganggu pasaran ekonomi negara kita. Semakin banyak wang negara kita akan mengalir keluar. Selain daripada itu, kadar pengangguran juga akan semakin meningkat pada tahun-tahun yang akan datang apabila lebih banyak kilang-kilang menutup operasi atas pelbagai sebab. Kerajaan tidak akan berjaya mengekalkan kadar pengangguran pada tahap 2.9% seperti sebelum ini.

Semua ini membuktikan negara kita akan menghadapi cabaran yang cukup hebat dalam lima tahun akan datang. Ditambah pula dengan sistem pentadbiran yang lemah dan pemimpin-pemimpin negara yang korup, hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020 hanyalah omong-omong kosong sahaja.

Negara kita memerlukan satu barisan pemimpin baru untuk memperbetulkan keadaan yang sedia ada supaya negara  dapat diselamatkan daripada keruntuhan yang lebih dahsyat lagi.