Kejadian seorang pembantu rumah warga Indonesia yang tidak dibayar gaji selama 2 tahun di Batu Caves, tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga dan didera oleh majikannya seperti yang dilaporkan media sebelum ini adalah antara banyak lagi kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga asing. Berat badan mangsa hanya 30kg apabila beliau diselamatkan. Biarpun mangsa sudah membuat laporan polis dan majikannya telah ditahan serta dilaporkan dalam media, namun sehingga kini masih tidak kedengaran sebarang tindakan daripada Kerajaan.
Malaysia perlu menjadi destinasi pekerjaan yang kondusif dan selamat melalui jaminan penguatkuasaan undang-undang ke atas majikan yang zalim kepada pembantu rumah warga asing. Garis panduan bagaimana melaporkan penderaan perlu dihebahkan dan tindakan segera perlu diambil selepas laporan diterima. Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan sebelum ini mendedahkan sebanyak 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia dilaporkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak 2020 hingga Jun 2022.
Kerajaan perlu melihat kepentingan pembantu rumah warga asing kepada produktiviti negara terutama kepada wanita yang menjaga anak dan ibu bapa yang uzur supaya mereka boleh kembali bekerja. Mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan 27 April 2022 mengenai kadar pengangguran bagi kumpulan tidak aktif, terdapat lebih separuh daripada bilangan di luar tenaga buruh didominasi oleh wanita iaitu sebanyak 68.6%. Antara alasan utama mereka tidak mencari pekerjaan adalah disebabkan oleh kerja rumah/tanggungjawab kepada keluarga, iaitu sebanyak 45.2%.
Saya menggesa Menteri Dalam Negeri memperincikan hasil siasatan dan tindakan terhadap majikan Malaysia yang didapati mengabaikan kebajikan dan mendera pembantu rumah warga asing terutama dari negara jiran kita Indonesia dalam kes yang terbaru ini. Menteri Dalam Negeri mesti menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila menerima laporan daripada pembantu rumah warga asing. Kerajaan perlu serius dalam menjamin keselamatan mereka yang mencari rezeki untuk menyara keluarga, kerana mereka juga penyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan sosial institusi kekeluargaan di Malaysia. Saya menanti tindakan tegas yang akan diambil terhadap majikan yang tinggal di Batu Caves ini terutamanya apabila 3 Kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar telahpun bersuara. Jangan ibarat ombaknya kedengaran, pasirnya tiada kelihatan.