Skip to content

Surat terbuka Pengerusi DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng kepada Menteri Sumber Manusia M. Saravanan mengenai kelemahan pemprosesan pekerja migran yang mengakibatkan kekurangan pekerja teruk dan kerugian besar bagi industri di semua sektor pada 5.10.2022

SERAHAN TANGAN

5 Oktober 2022

YB Datuk Seri M. Saravanan,
Menteri Sumber Manusia,
Kementerian Sumber Manusia Malaysia,
Putrajaya.

Yang Berhormat Menteri,

Isu kekurangan pekerja yang teruk, terutamanya buruh migran begitu meruncing sehinggakan syarikat, terutamanya PKS, mengalami kerugian besar atau ditutup dan trajektori pertumbuhan positif ekonomi negara mungkin terjejas. Bulan lalu, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menganggarkan hanya 47,000 pekerja asing telah memasuki Malaysia atau 12% daripada 385,000 kelulusan oleh YB Menteri sejak Januari 2022 untuk semua sektor industri. Tidak ada gunanya memberi kelulusan jika hanya 12% pekerja asing yang diluluskan dapat masuk ke negara ini.

MPOA telah menyatakan bahawa industri minyak sawit memerlukan 120,000 pekerja asing manakala sektor E&E Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera. Kekurangan pekerja yang teruk telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, sarung tangan getah dan industri alat ganti kenderaan sahaja. Industri lain juga akan mencatatkan kerugian berpuluh bilion ringgit.

Menjelang pertemuan ini, Kementerian Sumber Manusia secara tiba-tiba mengumumkan kelulusan untuk 541,315 pekerja asing sehingga 26 Sept, di mana 436,613 daripadanya telah membayar levi. Kementerian berkata dengan mengambil kira 1.3 juta pekerja asing sedia ada di Malaysia dan kuota yang diluluskan sebanyak 541,315, jumlah itu hampir memenuhi permintaan industri sebanyak 1.8 juta bagi buruh asing. Walau bagaimanapun, ini tidak mempunyai kaitan dengan realiti di lapangan di mana perniagaan kekurangan tenaga kerja malah penjaja meminta pelanggan untuk layan diri dan penjual ikan di pasaran tidak dapat membersihkan/menyiang ikan untuk pelanggan.

Kontraktor dalam keseluruhan industri pembinaan menyanggah dan mempertikaikan dakwaan Kementerian Sumber Manusia bahawa kekurangan buruh asing telah diselesaikan. Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan sembilan persatuan kontraktor binaan, berkata kekurangan buruh asing yang berterusan telah membantutkan pemulihan industri pembinaan, dengan menyatakan bahawa mereka berdepan kadar faedah yang lebih tinggi.

10 persatuan kontraktor binaan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam mengembalikan proses kemasukan pekerja asing ke Pusat Pertukaran Buruh Binaan Bhd (CLAB) bagi menangani isu pekerja asing tanpa penglibatan Kementerian Sumber Manusia bagi memudahkan kemasukan pekerja asing dengan segera. CLAB ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan pada Julai 2002 oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk membawa masuk dan mengagihkan semula pekerja asing untuk syarikat dan organisasi di Malaysia.

9 persatuan lain yang menyokong saranan MBAM untuk menggantikan dan mengenepikan Kementerian Sumber Manusia daripada mengendalikan pekerja asing ialah Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Gabungan Kontraktor Bumiputera Wibawa Malaysia (GBC), Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM), Institusi Diraja Juruukur Malaysia (RISM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia, Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM), Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan Institut Perancang Malaysia (MIP). “Beratur panjang sendiri di Kementerian untuk mendapatkan permohonan kuota pekerja asing sepatutnya sudah tidak berlaku lagi sekarang. Kurangnya tindakan untuk benar-benar menyelesaikan masalah ini amat mengerikan,” katanya.

Kami berharap Kementerian dapat menjelaskan mengapa mereka gagal menunaikan janji berkenaan pemprosesan dalam talian, mempercepatkan proses temu duga majikan di Pusat Sehenti (OSC) mengikut zon dan negeri, atau memberi kelulusan dalam tempoh seminggu di bawah Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS). Dakwaan salah laku atau penyelewengan dalam sistem membabitkan permohonan pekerja asing akan diuruskan oleh 2 rakan sekerja saya hari ini, Ahli Parlimen M. Kulasegaran dan Ngeh Koo Ham. Kementerian mesti mengendalikan pemprosesan pekerja asing secara telus, bertanggungjawab dan profesional yang dapat menimbulkan keyakinan orang ramai terhadap penyampaian perkhidmatan yang cekap.

Yang benar,

LIM GUAN ENG
PENGERUSI