Skip to content

Keterangan “BNS-Disember 2021” menyangkal pendirian “BNS-Ogos 2022”

Saya telah membaca laporan bahawa CEO BNS Ir Azhar telah menyangkal Laporan PAC yang menyatakan dianggarkan 15% daripada barangan bernilai RM1.7 bilion telah pun usang.

Pendirian “BNS-Ogos 2022” boleh disangkal dengan keterangan “BNS-Disember 2021”.

Saya memetik keterangan Ir Azhar dalam Prosiding PAC pada 11.12.2021 m/s 40:

Tuan Pengerusi: Sebahagian. Satu soalan umum ataupun general question. How many of these stocks already obsolete?

Kepten (B) Ir. Azhar bin Jumaat: Kita ada proses pemantauan yang very terperinci. Kita membuat laporan kepada Pasukan Projek TLDM secara bulanan, Yang Berhormat. Kita anggarkan kalau daripada segi percentage, sekarang ini dalam 15 peratus yang telah menjangkau atau menghampiri proses obsolete.

Tuan Pengerusi: 15 peratus?

Kepten (B) Ir. Azhar bin Jumaat: Ya, 15 peratus.

BNS sekarang kata barangan hanya dalam proses untuk menjadi usang dan boleh digunakan selama paling kurang 25 tahun dari sekarang.

Persoalannya, jika barangan yang dimaksudkan boleh guna selama paling kurang 25 tahun, ia tidak akan dianggap dalam proses menjadi usang, betul?

Selepas 9 bulan, BNS sekarang pula kata barangan yang telah menjangkau usang hanyalah Smart TV sahaja dan bukan untuk barangan lain?

PAC tidak membuat Laporan mengikut perasaan sendiri. PAC membuat Laporan mengikut keterangan saksi, bukan bergantung kepada seorang dua sahaja tetapi berpandukan kepada keterangan yang diambil sepanjang prosiding. Bagi isu LCS, 10 prosiding dan 21 orang saksi. Inilah bagaimana PAC mencapai rumusan yang dibentangkan.

Isu barangan yang dibeli sekian lama menjadi usang dan warranty tamat merupakan isu serius yang diambil perhatian oleh PAC. Saksi-saksi yang hadir di hadapan PAC juga telah menyatakan kebimbangan mereka.

Untuk membantu pembaca-pembaca, saya petik di sini.

Prosiding @ 16.12.2020

Laksamana Muda Datuk Ir. Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah [Mantan Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM] menjelaskan bagaimana peralatan yang dibeli tidak dapat dipasang di dalam kapal akibat pembinaan kapal belum sampai ke tahapnya sehinggalah warranty pun tamat.

“… So, what happened, Tuan Pengerusi highlighted, terdapat peralatan yang telah tiba warranty almost expired kerana deliverable yang sepatutnya siap tidak siap lagi. Mana yang dah siap tetapi as a whole pun belum siap warranty one year or two years from the OEM already lapsed… Now what happened is the warranty almost gone. The first ship should be April 2019 and now it’s already almost more than one year, so warranty is almost finished and that spill over effect also to another LCS.”

Prosiding @ 25.10.2021

Dato’ Seri Muez bin Abdul Aziz [KSU MINDEF] Dr Ahmad Zahid bin Hamidi [Mantan Menteri Pertahanan] menyatakan ada isu obsolete di mana peralatan akan ketinggal dari segi teknologi dan dijangka kos akan bertambah untuk lanjutan warranty bagi peralatan yang telah dibeli.

“…Tempoh masa penghantaran kapal-kapal pula adalah dianggarkan akan mengambil masa tempoh lima hingga 10 tahun bermula LCS1 pada tahun 2025. Itu cadangan mereka. Akan ada isu, obsolete di mana peralatan akan ketinggalan daripada segi teknologi.

Selain itu, dijangka syarikat akan menuntut kos tambahan bagi extension of warranty period bagi peralatan yang telah dibelilah…”

Prosiding @ 25.10.2021

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi [Mantan Menteri Pertahanan] meluahkan kekuartiran teknologi kapal adalah tahun 2009 dan sekiranya penyerahan kapal pada tahun 2025, ertinya teknologi itu telah obsolete. Beliau bimbang pada masa itu hendak dapat spare part pun tidak boleh lagi.

“…Kalaulah LCS is to be delivered pun teknologi itu adalah teknologi 2009. Tahun ini ialah 2021. Probably delivery will be in 2025. Teknologi telah bertukar Yang Berhormat. Kalau misalan the PAC 25.10.2021 25 support system dalam kapal itu ikut specs yang telah ditentukan pada tahun 2009, ertinya teknologi itu telah obsolete. Saya khuatir kalau LCS ini digunakan untuk tempoh even 25 years lamanya. Hendak dapatkan spare part pun tidak boleh lagi dah. Because the product is no longer available…”

Prosiding @ 25.01.2021

Dato’ Seri Muez bin Abdul Aziz [KSU MINDEF] menyatakan dalam penentuan hala tuju Projek LCS, MINDEF telah mengambil kira isu-isu lanjutan warranty bagi peralatan yang telah dibeli.

“Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman (SIK): Dato’ Sri KSU, saya balik tadi di dalam progress pembinaan itu. Dalam lawatan kami itu, dilihat banyak lagi komponen-komponen yang belum dipasang khususnya yang berasaskan getah ini. Banyak lagi dalam stor yang dilihat itulah. Cuma, disebut ada barang-barang ini, komponen ini yang telah dibeli sejak tahun 2018. Sudah pasti mereka sudah ada tarikh luputnya komponen-komponen yang berasaskan getah ini. Itu juga adakah ada penelitian di pihak MinDef proses pemasangan ini? Mungkin kalau tidak selesai benda ini juga, mungkin akan ada lagi lost dari segi komponen-komponen yang kita telah beli yang sudah masuk dalam kos kita itu. Terima kasih.

Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz: Yang Berhormat, itu sebab salah satu faktor kita hendak segerakan ialah untuk mengatasi isu-isu yang dibangkitkan Yang Berhormat juga. Jadi, dalam bila perancang kita mobilized semula projek ini, kita dah ambil kira dari segi extension of the warranty dan sebagainya untuk pastikan benda ini diambil kira, Yang Berhormat.”


Prosiding @ 08.03.2022

Puan Hajah Saadatul Nafisah binti Bashir Ahmad [Pengarah Bebas BHIC] menyatakan BNS ada jawatankuasa khas untuk mengendalikan isu barangan obsolete.

“Just, Yang Berhormat, saya hendak tambah sedikit on the asset. Kita ada a committee that is looking into the asset; what assets that still can be used and what assets that are already obsolete. Which assets do we need to extend the guarantee period and all these. So, there is a committee – sometimes monitored by us also – to see the position untuk aset-aset ini. Sebab macam Yang Berhormat sudah pergi tengoklah. Mungkin ada banyak aset yang sudah obsolete and then, macam mana kita – what is the cost to extend the guarantee and all these. We have to relook into all these.”

Saksi-saksi utama tidak akan menyentuh isu obsolete dan warranty sekiranya isu ini hanya sekadar melibatkan Smart TV. KSU bangkitkan isu usang dan warranty. DS Zahid bangkitkan isu usang dan warranty. TLDM bangkitkan isu usang dan warranty. Pengarah Bebas BHIC bangkitkan isu usang dan warranty.

Selaku seorang pembayar cukai, saya juga berharap yang obsolete itu hanyalah Smart TV sahaja. Namun, keterangan saksi-saksi yang hadir di Prosiding PAC membuktikan masalah baraangan obsolete adalah amat serius, bertentangan dengan pendirian tidak apa yang diambil BNS pada hari ini.