Perihal ketirisan wang yang melibatkan pembelian 6 kapal tempur pesisir (LCS) kini menjadi tanda tanya untuk seluruh negara. Segala macam bukti telah didedahkan dan ternyata kapal LCS yang siap tidak wujud, walaupun RM6 bilion wang rakyat telah dibelanjakan. RM6 bilion adalah jumlah wang yang bukan calang-calang dan sekiranya tidak dibelanjakan untuk membeli kapal-kapal ghaib ini, lebih banyak pihak yang lebih layak boleh mendapat manfaat daripadanya.
Misalnya, Malaysia mempunyai lebih kurang 113,000 orang tentera dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). RM6 bilion itu adalah lebih baik bagi setiap tentera ATM diberikan RM53,000, daripada dibelanjakan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dua contoh lain, 1.2 juta penjawat awam di negara kita juga boleh diberikan bonus istimewa sebanyak RM5,000 setiap orang daripada RM6 bilion itu, sebagai tanda penghargaan di atas khidmat mereka. RM6 bilion itu juga dapat dipulangkan kepada setiap seorang daripada 30 juta rakyat Malaysia dan setiap seorang bakal menerima RM200.
Di sini dapat kita lihat wujudnya kewajipan untuk para penjawat awam bangkit dan menentang kerajaan yang terlibat dalam skandal RM6 bilion dibayar satu kapal LCS pun tidak siap, iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN). Tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah untuk mentadbir dengan cekap dan sudah terbukti kerajaan BN telah gagal menjalankan tanggungjawab tersebut. Jelas kerajaan BN ini lebih gemar mengutamakan kroni dan melindung pemimpin korup.
Tak dapat disangkal lagi, RM6 bilion telah disalah gunakan oleh kerajaan BN dan beberapa individu tetapi tidak ada seorang pun yang dipertanggungjawabkan. Berapa banyakkah gaji dan bonus yang telah diberikan kepada para CEO dan pengarah-pengarah syarikat BNS dan LTAT tertentu sewaktu transaksi RM6 bilion untuk beli kapal LCS ini berlangsung? Adakah perlu untuk 113,000 orang tentera ATM diberikan penjelasan mengapa kesalahan ini tidak patut ditanggung oleh CEO dan pengarah-pengarah tersebut?