Skip to content

Khaled Nordin harus mengambil langkah lebih berani dan telus dengan menyahut seruan yang pernah diutarakan oleh Pakatan Harapan Johor agar beliau serta para exconya melakukan pengisytiharan harta

Saya tertarik dengan pengumuman Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung kesediaan Kerajaan Negeri untuk membentangkan kad laporan bagi membolehkan rakyat menyemak dan menilai prestasi kemampuan Kerajaan pimpinan beliau dalam mengotakan janji.

Rujuk: https://m.malaysiakini.com/news/380948

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1352284

http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/video-kerajaan-negeri-keluarkan-kad-laporan-1.476522

Saya ucapkan tahniah atas inisiatif ini.

Namun, saya berharap agar Khaled Nordin mengambil langkah lebih berani dan telus dengan menyahut seruan yang pernah diutarakan oleh Pakatan Harapan Johor agar beliau serta para exconya melakukan pengisytiharan harta.

Pasca terbongkarnya skandal hartanah dan perumahan yang mengaitkan bekas exco Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Khaled iaitu Datuk Abdul Latif Bandi, Pakatan Harapan Johor telah mendesak agar MB dan barisan exconya membuat pengisytiharan harta bagi memastikan integriti serta reputasi institusi negeri dapat benar-benar dipertahankan.

Hal ini telah dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Jika di 2 negeri ini ia boleh dilaksanakan, mengapa tidak di Johor?

Sekiranya Khaled benar-benar ikhlas hendak memastikan nilai transperensi diamalkan dalam urustadbir Johor, tidak ada sebab untuk beliau tidak menyahut seruan Pakatan Harapan ini.

Saya juga beranggapan, jika Khaled sekadar berani untuk membentangkan kad laporan prestasi kerajaan negeri untuk tatapan rakyat, ia sedikit sebanyak tidak jauh beza dari apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diperingkat Kerajaan Pusat.

Najib mengambil pendekatan menceritakan ‘yang manis-manis’ kepada rakyat. Namun hakikatnya, penyelewengan yang berlingkar dikalangan beliau dan barisan kepimpinannya ternyata cukup kronik dan telah memberi impak negatif keatas ekonomi rakyat.

Najib bersikap escapism untuk berhadapan dengan rakyat dan menyatakan kedudukan sebenar pelbagai skandal yang dipalitkan keatas beliau dan kepimpinannya.

Soalan saya, apakah Khaled ingin menjadi serupa Najib? Apakah Najib dan Khaled ibarat ‘bapa borek anak rintik’?

Rakyat Johor berhak mengetahui kedudukan sebenar ekonomi dan pembangunan negeri. Lebih-Lebih lagi selepas terbongkarnya skandal perumahan dan hartanah baru-baru ini, tiada sebab untuk Khaled berdalih dari melaksanakan dasar pengisytiharan harta.

Kegagalan Khaled menyahut seruan ini membuktikan bahawa tiada bezanya ‘Team Johor’ dengan ‘Team Najib’ yang telah menjerumuskan ekonomi negara ke lembah kehancuran dan memangsakan rakyat.