Skip to content

Pemilih didaftarkan dua kali atau lebih merosakkan sistem demokrasi

Baru-baru ini, kami dihubungi sumber dalaman yang mengatakan bahawa ada kes-kes di mana seorang individu didaftarkan dua kali atau lebih dalam Daftar Pemilih atas sebab yang tidak diketahui.

Susulan daripada itu, kami membuat analisa secara terperinci ke atas senarai daftar pemilih induk dan Daftar Pemilih Tambahan setiap suku tahun seluruh Malaysia.

Hasil dapatan awal analisa kami sangat memeranjatkan. Di Johor sahaja, kami menemui lebih kurang 1,000 pemilih yang disyaki namanya daftar dua kali atau lebih dalam Daftar Pemilih. Dengan kata lain, mereka ini boleh mengundi di dua kawasan pilihan raya. Hal ini bercannggah dengan prinsip asas ‘Satu Orang-Satu Undi’. Malah, ia secara langsung membuktikan SPR tidak berupaya membina institusi yang adil dan kukuh dan mempertahankan hak setiap pengundi Malaysia.

Dalam 3 kawasan Parlimen dalam Daerah Kluang, iaitu P152 Kluang, P153 Sembrong dan P151 Simpang Renggam, analisa kami mendapati ada lebih kurang 150 nama individu yang namanya mungkin didaftarkan dua kali.

Saya telah membuat siasatan tapak ke alamat berdaftar tiga orang pemilih di bawah, Muhamad Kaharun bin Awang (770201065275), Sah Soon Hoe (541106015289), Ma’ah binti Madi (K477309)(Kluang & Sarawak) tetapi tidak dapat berjumpa dengan pemilih-pemilih tersebut.

Oleh kerana saya tidak dapat mengesan individu pemilih tersebut, saya berharap mereka atau pun keluarga mereka dapat menghubungi saya atau terus ke pejabat SPR selepas ini untuk memastikan identiti mereka tidak didaftarkan dua kali. Saya bimbang ada di kalangan pemilih yang didaftarkan dua kali ini, kad pengenalan dan butiran peribadi mereka disalahgunakan. Sama ada kerana kecuaian ataupun manipulasi jahat pihak tertentu, individu pemilih yang terlibat itu mungkin tidak tahu, mereka mungkin mangsa.

Kami dapati banyak kes manipulasi berlaku di kawasan DUN Mahkota, adakah ini salah satu usaha untuk menyelamatkan DUN Mahkota yang hanya dimenangi dengan majoriti yang tipis dalam PRU13?

Memandangkan perkara ini secara tidak langsung akan memanfaatkan pihak Barisan Nasional Kluang, YB Tuan Haji Md. Jais bin Haji Sarday selaku ADUN Mahkota dan juga Ketua Bahagian UMNO Kluang harus bertampil untuk memberi penjelasan bahawa ini tidak berkaitan dengan beliau dan juga UMNO Kluang.

Susulan daripada penemuan kes pendaftarkan berulang yang saya bongkarkan di atas, SPR wajar membetulkan kelemahan ini secepat yang mungkin supaya pengundian berulang yang bercanggah dengan prinsip satu orang satu undi tidak berlaku dan merosakkan sistem demokrasi di negara kita.

Selain itu, SPR harus memberi penjelasan segera. Sekiranya SPR gagal memberi respon, kami akan membuat bantahan ataupun memulakan tindakan makhamah menyaman SPR.

SPR perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa perkara ini bukan suatu usaha untuk menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional dan memberikan jaminan bahawa SPR akan berusaha mengurangkan segala bentuk penyelewengan dan manipulasi ke atas sistem pilihanraya di negara kita bagi membuktikan bahawa SPR mampu melaksanakan tugasnya secara amanah dan berkecuali.