Semalam, semasa berkempen untuk calon Pakatan Harapan, Lee Kee Hiong, di Kerling, saya telah menyeru semua parti-parti politik dan calon yang bertanding untuk menyatakan sokongan mereka terhadap rancangan Ekonomi Madani Anwar Ibrahim supaya Malaysia dapat bangkit semula sebagai sebuah negara hebat dunia.
Saya tidak jangka Perikatan Nasional (PN) atau pemimpinnya, Muhyiddin Yassin, untuk memberikan apa-apa maklum balas, kerana dia adalah Perdana Menteri Malaysia yang paling teruk dalam membanteras rasuah.
Dia menggantung sidang Parlimen pada bulan Januari 2021 untuk membuang semua bentuk semak imbang Ahli-ahli Parlimen terhadap badan Eksekutif, yang telah membolehkan rasuah dan salah guna kuasa untuk berleluasa.
Muhyiddin juga ada “pencapaian” lain.
Malaysia mengambil masa 22 tahun untuk jatuh dari tempat ke-23 (dari 41 negara yan ditinjau) semasa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) mula diterbitkan pada tahun 1995 ke tempat ke-62 (dari 180 negara yang ditinjau) pada tahun 2017, tetapi Muhyiddin hanya memerlukan 10 bulan sebagai Perdana Menteri untuk menjatuhkan kedudukan Malaysia dari ke-51 pada tahun 2019 ke tempat ke-62 dalam TI CPI 2020.
Saya tidak dapat fikirkan mana-mana Perdana Menteri yang ada sejarah yang lebih buruk berbanding dengan Muhyiddin Yassin dalam memerangi rasuah.
Enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini mungkin lebih penting berbanding dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 lepas.
Kerana keputusan enam pilihan raya negeri ini akan menentukan sama ada Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau sama ada kita ditakdirkan menjadi sebuah negara berpecah belah, gagal, dan korup seperti yang diinginkan oleh PN dalam beberapa dekad yang akan datang.
Gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional mahu melihat Kedah, Kelantan, dan Terengganu – tiga negeri termiskin di Malaysia – untuk menjadi maju dan makmur seperti Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan – tiga negeri dengan KDNK per kapita tertinggi. Kita tidak mahu melihat Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan yang menerima nasib seperti Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Saya seru kepada para pengundi di Banting untuk memilih Papparaidu Veraman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk Banting pada 12 Ogos ini supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia berasaskan kepada perpaduan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan dan juga kestabilan politik.
Saya seru semua rakyat Banting untuk bersama-sama selamatkan Malaysia pada 12 Ogos!