Dalam senarai kabinet yang baru diumumkan, beberapa calon yang dicadangkan oleh DAP termasuk Pengerusi Negeri Sarawak, YB Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin) serta Pengerusi Negeri Perak, YB Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan) telah digugurkan daripada senarai menteri dan maka DAP hanya memperoleh 6 jawatan menteri walaupun berjaya memenangi 42 kerusi parlimen dalam PRU ke-14.
Tindakan Perdana Menteri adalah tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai kabinet tersebut tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti untuk mengilustrasikan hasrat rakyat, malah keputusan sedemikian juga tidak menghormati cadangan pimpinan parti seperjuangan.
DAPSY ingin menegaskan bahawa pandangan terhadap senarai kabinet yang diumumkan YAB Perdana Menteri bukan berniat untuk merebut mana-mana jawatan menteri tetapi adalah untuk menghormati hasrat rakyat serta mempertahankan maruah parti demi memastikan tidak wujudnya sistem cacat bahawa sesebuah parti terlalu berkuasa dalam Pakatan Harapan. Hanya dengan amalan membuat keputusan secara konsensus, sebuah Malaysia baharu akan dapat dibina dan budaya politik baru akan dilahirkan.
Apabila keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan memberikan kuasa kepada YAB Perdana Menteri untuk memilih dan melantik menteri, sesungguhnya ini juga bermakna bahawa Perdana Menteri akan melantik menteri dalam kalangan senarai calon yang dikemukakan oleh parti-parti dan Perdana Menteri harus menghormati pilihan komponen parti dalam Pakatan HARAPAN supaya ia dapat membentuk sebuah kabinet yang sempurna.
Bagaimanapun, senarai kabinet yang baru diumumkan khususnya bagi pihak DAP, calon-calon yang dicadangkan oleh pimpinan parti untuk menganggotai kabinet seperti YB Chong Chieng Jen serta YB Nga Kor Ming telah dipinggirkan. Samada dari segi pengalaman, kemampuan mahupun kelayakan, mereka adalah calon cemerlang dalam kesemua aspek dan merupakan pemimpin kebangsaan utama bagi DAP serta antara individu yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan Pakatan HARAPAN dalam PRU ke-14.
DAPSY tidak menafikan pandangan Perdana Menteri dalam memilih bakat mahupun mengkritik kemampuan menteri yang dilantik Perdana Menteri dan tidak menafikan kemampuan bakat-bakat yang dipilih.
Namun, DAPSY ingin menegaskan bahawa tiada pihak lain yang lebih memahami dan mempercayai kelayakan serta kemampuan calon yang dicadangkan oleh parti melainkan parti itu sendiri. Walaupun Pakatan Harapan telah memberi kuasa muktamad kepada Perdana Menteri untuk menentukan senarai kabinet, namun Perdana Menteri haruslah lebih mendengari suara dan pandangan rakan-rakan seperjuangan dalam pelantikan tersebut dan bukannya bertindak dengan sebaliknya.
Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya Setiausaha Agung DAP juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?
Maka, YAB Perdana Menteri harus lebih banyak mendengari suara serta hasrat parti seperjuangan kerana Kabinet baru akan menentukan hala tuju negara. Pelantikan berdasarkan kelayakan dan pengalaman adalah penting dalam mengukuhkan asas dan meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan baru. Ia secara keseluruhannya turut berkemampuan untuk menggabungkan segala tenaga dan minda rakyat demi membina sebuah Malaysia yang baru.