Kos menggandakan(100%) rebat bil elektrik untuk 3 bulan iaitu April, Mei dan Jun 2020 daripada RM77 kepada RM 154 sebulan bagi pengguna domestik, diskaun pengguna komersial/industri daripada 15% kepada 30% serta diskaun dan penurunan surcaj adalah hanya RM3.2 bilion tetapi berkesan membantu 32 juta rakyat Malaysia dan perniagaan. Adalah dikesali bahawa pihak kerajaan enggan menerima cadangan ini sungguhpun ia memang memberi manfaat kepada usaha melawan impak ekonomi yang merudum pasca COVID-19.(lihat lampiran jawapan Menteri).
DAP telah menerima banyak rintihan dan aduan rakyat bahawa rebat bil elektrik yang disyorkan oleh kerajaan memang tidak mencukupi. Apa gunanya rebat elektrik RM77 sebulan apabila bil elektrik telah naik sebanyak RM200-300 sebulan? Perkara yang sama juga dirasai oleh industri dan perniagaan kerana menghadapi kesulitan ekonomi, lebih-lebih lagi apabila pengeluaran dihentikan, dan tiada tempahan atau penjualan.
Menilai kos rebat elektrik kepada pengguna domestik yang digandakan, ia hanya sekadar RM942 juta sahaja. Apabila semua pengguna termasuk sektor industri dan perniagaan diambilkira, kosnya hanya RM3.2 bilion, iaitu 1% daripada pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN sebanyak RM295 bilion.
Tidak ada sebab mengapa kerajaan tidak boleh membelanjakan RM 3.2 bilion sedangkan tindakan ini secara langsung membantu semua rakyat dan perniagaan di Malaysia? Lagipun rebat tersebut akan dibiayai bersama oleh Kumpulan Wang Industri Elektrik, Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Bhd(TNB). TNB mampu menanggung kos ini kerana syarikat tersebut telah mencatat keuntungan sebanyak RM4.45 billion pada 2019, kenaikan 18.7 % berbanding dengan keuntungan RM3.75 billion pada tahun sebelumnya.


