Skip to content

KPM harus kaji semula polisi penutupan sekolah serentak di seluruh negara

Saya menyerukan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengkaji semula polisi penutupan sekolah serentak di seluruh negara.

Pembukaan sebahagian sekolah di negeri Pahang yang mencatatkan kes rendah Covid-19 boleh mengelakkan peluasan jurang pembelajaran antara bandar dan luar bandar serta krisis pemberhentian pembelajaran anak-anak luar bandar.

Walaupun KPM mengarahkan guru-guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalan talian, namun ia tidak berkesan di kawasan luar bandar kerana capaian internet serta sumber teknologi yang lemah.

Kita perlu memahami sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan kanak-kanak luar bandar. Bangunan sekolah adalah satu-satunya tempat yang memupuk proses pembelajaran di kawasan desa.

Selepas melawat Kampung Orang Asli Pos Menson di Cameron Highlands, saya dimaklumkan keluhan ramai ibu bapa tempatan bahawa anak-anak mereka tidak dapat belajar di rumah. Penutupan sekolah bermakna murid-murid kehilangan satu-satunya pentas pembelajaran.

Tambahan pula, kawasan luar bandar tiada kelas tuisyen di mana adalah kebiasaan di kawasan bandar. Ibubapa tidak dapat mengantikan guru dalam mengajar anak mereka.

Saya merayu agar sekolah di kawasan luar bandar Pahang dapat dibuka semula kerana kepadatan murid yang rendah dalam lingkungan 10 hingga 20 murid berbanding dengan kepadatan tinggi di bandar.

Di samping itu, risiko penularan wabak Covid-19 di kawasan luar bandar agak rendah jikalau SOP dapat dipatuhi dengan sempurna. Tambahan pula, kepadatan rendah murid-murid juga mengurangkan risiko.

Ketidaksamarataan pembelajaran akan menyebabkan kanak-kanak luar bandar dipinggirkan. Justeru itu, kita dan pihak berkuasa perlu menitikberatkan pembukaan sekolah luar bandar dengan selamat supaya tiada anak-anak dipinggirkan.