Skip to content

Meminta pihak berkuasa menarik balik tuduhan terhadap Encik Wong Yan Ke dengan segera dan tindakan tatatertib diambil terhadap ASP Lee Robert

Malaysia bukan sebuah negara polis. Saya terkejut kerana mantan Presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY), Encik Wong Yan Ke didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kononnya kerana melanggar perintah seorang polis untuk berhenti merakam secara langsung di Facebook serbuan yang dilakukan oleh pihak polis.

Merakam secara langsung di Facebook sesuatu kejadian bukanlah merupakan suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di Malaysia. Seorang warganegara mempunyai hak untuk membela dan melindungi diri daripada apa-apa kesalahan yang beliau takut akan dilakukan oleh seorang anggota polis. Perintah oleh pegawai polis yang mengkehendaki Encik Wong Yan Ke menghentikan rakamannya merupakan satu penyalahgunaan kuasa. Rakaman tersebut akan menjadi satu barang bukti yang penting sekiranya berlaku sesuatu kesalahan jenayah. Tindakan polis terhadap Encik Wong Yan Ke sehingga beliau didakwa di mahkamah menunjukkan kesombongan, rasa dendam dan kecendorongan penyalahgunaan kuasa oleh sesetengah pegawai polis.

Hakikatnya bahawa Suruhanjaya Pasukan Polis, badan tertinggi dalam organisasi polis boleh membenarkan Encik Wong Yan Ke didakwa di mahkamah menunjukkan bahawa kita tidak boleh mempercayai Suruhanjaya Pasukan Polis untuk mengawal dan mengatur pasukan polis itu sendiri. Terdapat keperluan mendesak untuk meluluskan satu undang-undang untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk mengawasi dan mengawal disiplin pasukan polis.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen meluluskan undang-undang untuk mengambil alih kawalan disiplin pasukan polis daripada Suruhanjaya Pasukan Polis. .

Rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang diusulkan oleh Kerajaan Perikatan National (PN) untuk menggantikan cadangan penubuhan IPCMC tidak boleh diterima sama sekali. IPCC adalah harimau tanpa taring kerana ia merujuk semula semua perkara disiplin polis balik kepada pihak pasukan polis. IPCC adalah versi IPCMC yang lebih lemah.

Saya meminta pihak berkuasa menarik balik tuduhan terhadap Encik Wong Yan Ke dengan segera dan tindakan tatatertib diambil terhadap ASP Lee Robert, pegawai yang menolak hak Encik Wong Yan Ke untuk mengambil tindakan membela dan melindungi diri.