Skip to content

Kuil Sri Thendayuthapany Swami Terima Hampir RM100,000 Peruntukan RIBI daripada KPKT.

ADUN Tanah Rata, Ho Chi Yang, bersama dengan Ahli Majlis, Thevin Kaliannan, dan pasukan menghadiri sambutan Chitra Pournami yang diadakan di Kuil Sri Thendayuthapany Swami, Brinchang, serta menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 bagi menyokong penganjuran acara tersebut.

Ho Chi Yang turut memaklumkan bahawa kuil tersebut telah menerima peruntukan sebanyak RM99,870 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kerja-kerja penyelenggaraan tandas, tembok serta kemudahan lain, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memelihara kepelbagaian agama.

Ho Chi Yang turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, atas keprihatinan berterusan terhadap pembangunan rumah ibadat bukan Islam di Cameron Highlands. Bersama peruntukan yang telah disalurkan kepada Persatuan Buddha Poh Shen Tong di Ringlet dan All Souls’ Church di Tanah Rata sebelum ini, sebanyak tiga rumah ibadat bukan Islam di daerah ini telah menerima jumlah keseluruhan RM281,137 bagi tahun 2025.

Peruntukan ini bukan sahaja bertujuan menaik taraf infrastruktur rumah ibadat, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mengamalkan prinsip kepelbagaian, keadilan dan keterangkuman, sekali gus memastikan setiap komuniti dan kepercayaan mendapat peluang pembangunan yang saksama.